Khamis, 14 Jun 2007

MENGATASI MASALAH KESESAKAN TRAFIK DI KUALA LUMPUR

CADANGAN-CADANGAN MENGENAI PENAMBAHBAIKAN TRAFIK/LALU LINTAS DI KAWASAN BANDARAYA KUALA LUMPUR


Bil : 1



Perkara : Bas


Masalah :


Terdapat bas berhenti atas sebab (untuk mencari penumpang, menunggu penumpang bagi trip berikutnya) begitu lama di sesuatu lokasi sehingga menimbulkan kesesakan. (Contohnya, depan Pudu Raya, depan Kota Raya, Jalan Silang, depan Pasar Seni dan banyak lagi.) Ini banyak menimbulkan kesesakan.


Untuk mengatasinya, dicadangkan:


Bas yang berulang alik di ibu kota tidak sebuah pun dibenarkan berhenti atas sebab (mencari penumpang atau menunggu penumpang bagi trip berikutnya) begitu lama di sesuatu lokasi kecuali berhenti untuk memberi peluang kepada penumpang naik dan turun dari bas sahaja. Pihak penguatkuasa harus bertindak dengan tegas dalam perkara ini.


Bil : 2


Perkara : Teksi


Masalah :


Teksi menunggu penumpang di depan pusat membeli-belah yang berbaris terlalu panjang sehingga menghalang lalu lintas.


Untuk mengatasinya, dicadangkan :


DBKL harus menyediakan petak khas yang munasabah jumlahnya di depan pusat-pusat membeli-belah. Teksi tidak boleh menunggu penumpang di luar dari petak-petak tersebut. Jika teksi menunggu penumpang luar dari kotak khas, tindakan tegas perlu diambil.

Bil : 3


Perkara : Kenderaan biasa


Masalah :


Kini terdapat terlalu banyak pengguna meletak atau memberhentikan kenderaan mereka sesuka hati, terutama di atas jalan yang bergaris kuning atau ada masanya di bahu-bahu jalan serta di lorong – lorong yang sempit.

Untuk mengatasinya dicadangkan :


Pengguna harus meletakkan kenderaan mereka di ‘parking’ yang khusus atau di atas petak ‘parking’ untuk kenderaan sahaja. Bagi mereka yang ingkar, kenderaan mereka patut dikenakan hukuman atau disita oleh pihak yang berkuasa.


Bil : 4


Perkara : Lori, van dan kenderaan lain memuat dan menurunkan barang


Masalah :


Kenderaan-kenderaan jenis ini memuat dan menurunkan barang dengan sesuka hati mereka di ibu kota. Ini telah menyebabkan kesesakan.


Untuk mengatasinya, dicadangkan :


(a) Pemilik kedai hanya boleh menerima barang atau memuatkan barang mereka ke dalam lori/van/kenderaan lain yang berkenaan hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja bukan masa-masa puncak. Mereka mungkin boleh memuat atau menurunkan barang mereka pada waktu awal pagi atau malam hari.

ATAU

(b) Mungkin tidak dibenarkan langsung kenderaan-kenderaan tersebut memasuki kawasan di mana jalan-jalan itu terlalu sempit atau sesak. Pembeli hanya boleh membuat tempahan di kedai-kedai di kawasan tersebut tetapi barang yang ditempah itu, hanya boleh diambil di kilang atau di stor yang terletak sedikit jauh dari ibu kota. (Contohnya kalau kita membeli seramik di Jalan Ipoh, Kuala Kumpur, kita hanya mengambil seramik yang kita tempah itu di Selayang atau tempat yang lebih jauh dari kawasan tersebut)

Bil : 5


Perkara : Berniaga di tepi jalan


Masalah :


Peniaga meletakkan kerusi dan meja di tepi jalan atau di atas jalan (lalu-lalang) dengan sesuka hatinya. Ini menghalang lalu lintas.

Untuk mengatasinya, dicadangkan :


Para peniaga tidak boleh langsung menyusun atau meletakkan kerusi meja mereka di tepi jalan atau di atas jalan (lalu-lalang). Pihak penguatkuasa harus bertindak tegas merampas semua alatan perniagaan mereka itu.


Bil : 6


Perkara : Pusat Hentian Bas: Bahagian Selatan, Utara, Timur dan Barat


Masalah :


Kini semua bas luar dari KL harus bertolak dari tempat bermulanya dan berakhir destinasi mereka di Perhentian-perhentian Bas di Kuala Lumpur. Ini menyebabkan kesesakan.


Untuk mengatasinya, dicadangkan :


Wujudkan Pusat Hentian Bas: Bahagian Selatan, Utara, Timur, dan Barat. (Contohnya, bas dari Kajang atau Melaka, Pusat Hentian basnya,bolehlah ditempatkan di Cheras untuk Bahagian Selatan.


Untuk Bahagian Utara ialah di Stadium Hoki, Jalan Duta; di Bahagian Timur mungkin lebih sesuai di Pusat Hentian basnya diletakkan di Melawati Kuala Lumpur, atau satu tempat yang lebih sesuai.


Bas-bas tersebut tidak wajar masuk ke ibu kota kerana ini akan menimbulkan kesesakan. Sementara itu, bas-bas dari Kelang mungkin pusat hentian bas ialah di daerah Petaling Jaya atau Jalan Kelang Lama.


Kita mewujudkan Pusat-pusat Hentian bas ini dengan tujuan supaya tiada bas berhenti terlalu lama di sesuatu lokasi dan bas perlu sentiasa bergerak bukan static di dalam Bandar Kuala Lumpur. Akhirnya kita hendak melihat bahawa di Bandar Kuala Lumpur ini tidak ada stesyen bas yang kekal KECUALI hanya ada ‘bas stop’ sahaja.Penumpang hanya membeli tiket semasa berada di bas, atau di kedai khas atau di Pusat Hentian Bas.(yang dicadangkan)



Bil : 7


Perkara : pengorek jalan dan menurap jalan


Masalah :


Sudah menjadi lumrah jalan-jalan di Kuala Lumpur ini dikorek dan diturap tetapi selepas diturap didapati selalunya muka jalannya tidak rata dan tidak licin seperti sedia kala.


Untuk mengatasinya, dicadangkan :


Setiap syarikat yang bertanggungjawab(sebagai contoh:PUAS,TNB,TELEKOM dan sebagainya) yang mengorek jalan diwajibkan menyimpan satu jumlah wang deposit yang munasabah pada DBKL. Sekiranya syarikat itu gagal menyempurnakan kerja-kerja penurapan jalan, wang deposit itu boleh dirampas atau dibatalkan.


Bil : 8


Perkara : Bas pelancong


Masalah :


Bas pelancong selepas menurunkan penumpang dan menunggu pelanggan-pelanggannya di depan tempat-tempat pelancongan dan hotel-hotel di Kuala Lumpur dengan sesuka hati mereka. (Contohnya, di depan KLCC, hotel-hotel di Bukit Bintang dan banyak tempat lagi)


Untuk mengatasinya, dicadangkan :


DBKL harus melarang bas pelancong dengan sesuka hatinya menunggu penumpang di depan tempat-tempat pelancongan dan hotel-hotel di Kuala Lumpur.Hukuman yang tegas perlu diambil.Bas pelancong tidak dibenarkan berhenti di depan hotel-hotel atau di tempat-tempat pelancongan kecuali hanya untuk penumpang turun dan naik dari bas.



Bil : 9


Perkara : Lot-lot ‘parking’ di pusat-pusat membeli-belah


Masalah :


Sesebuah pusat membeli-belah sekiranya tidak menyediakan lot-lot ‘parking’ yang mencukupi, ini akan menimbulkan masalah kesesakan.


Untuk mengatasinya, dicadangkan :


DBKL harus memastikan pusat membeli-belah yang baru dibina mempunyai lot-lot ‘parking’ yang mencukupi untuk pelanggannya.



Bil : 10


Perkara : Lot-lot ‘parking’ di kawasan kosong kepunyaan syarikat swasta


Masalah :


Kini didapati lot-lot ‘parking’ di kawasn kosong yang diusahakan oleh syarikat swasta tidak berapa teratur; terutama dari segi permukaan kawasan ‘parking’ tidak diturap dengan baik,tanpa garis petak berwarna dan bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan selalunya tidak konsisten


Untuk mengatasinya, dicadangkan :


Pihak penguatkuasa DBKL harus mengkaji masalah ini,dari semasa ke semasa bagi memperbaiki dan menyelesaikan masalah tersebut.

TOKOH BESAR (13)

TOKOH BESAR

Pagi itu seperti biasa Tokoh Besar datang ke pejabat lebih awal. Masalah negara perlu difikirkan olehnya. Tokoh Besar ingin membicarakan perkara agong bagi kemajuan negara dalam mesyuarat kali ini. Tidak ada negara di dunia yang inginkan kemajuan tetapi tidak mahu mengalami perubahan, kata Tokoh Besar. Perubahan semua bidang negara perlu berlaku. Sebagai seorang pemimpin, Tokoh Besar berpandangan kemajuan negara amat penting dan harus dilaksanakan dalam tempoh pentadbirannya. Tidak ada pemimpin yang wajar atau terlalu banyak mendengar hujah dari rakyat semata-mata. Sekali sekala, pemimpin harus memimpin rakyat ke arah zaman baru yang lebih ceria dan memberansangkan. Langkah-langkah tertentu harus diambil bagi menjayakan rancangannya.

Tokoh Besar telah mempunyai maklumat dan data. Agensi perancang, penyelidikan dan penyelerasan negara telah dikerah untuk memperolehi angkubah-angkubah yang diperlukan untuk memperkukuh ideanya. Kajian dari semua aspek juga dijalankan. Perubahan yang radikal dan drastik perlu dijalankan. Tidak ada tolak ansur. Negara mahu maju ke hadapan. Tokoh Besar mendapati beberapa buah negara di dunia telah melaksanakann perancangan dan pelaksanaan bagi mengasingkan bandaraya perniagaan dan bandaraya pentadbiran. Trens ini telah mulai menjalar memasuki pemikiran paradigma tokoh dunia. Beberapa negara telah mewujudkan projek tersebut dan didapati amat berjaya.

Tokoh Besar mempunyai wawasan yang jauh. Melangkaui tokoh-tokoh yang lain. Negara tercintanya perlu berubah. Mereka yang tidak bernyawa sahaja, yang tidak mahu berubah. Negaranya perlu berubah dari semasa ke semasa, memanjat ke tahap yang menjadi perhitungan dan sasaran yang perlu dicapai oleh tokoh-tokoh besar.

Kadang kala,dia tersenyum apabila ada tokoh lain menyatakan bahawa dia sebagai pemikir bangsa dan pemaju zaman negaranya. Kini dia mempunyai idea baru, cadangan ini perlu dilaksanakan tanpa dihalang dari rintangan kewangan. Sentiasa Tokoh Besar berpandangan lebih banyak negara menghadapi masalah dan berjaya pula mengatasinya maka hebat betullah pemimpin negara itu. Pemimpin beginilah yang akan berupaya membawa negaranya maju ke hadapan, setanding dengan kemajuan yang dicapai oleh negara-negara lain.

Panas di luar pejabat bertambah perit. Matahari yang bersinar lebih mencengkam pekerja di luar yang melakukan pekerjaan binaan masing-masing. Tokoh Besar berada di bilik pejabat, sambil membaca surat kahbar yang terbit hari tersebut. Mesyuarat akan bermula tidak lama lagi. Tidak ada berita besar pagi itu. Mungkin keputusan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tokoh Besar hari ini akan membawa berita sensasi untuk negara bagi akhbar keluaran esok.

“Dalam masa 30 tahun lagi, negara kita bakal menjadi negara maju. Saya kira sudah sampai masanya, kita mengikuti beberapa langkah yang dijalankan oleh negara maju yang lain di dunia.” Tokoh Besar memulakan mesyuarat pagi itu dengan mukadimah yang bersahaja.
Semua tokoh lain pandang memandang. Dalam pemikiran mereka apa projek besar yang bakal diumumkan oleh Tokoh Besar untuk negara. Ini mungkin satu projek yang besar untuk negara. Tempoh berfikir menjadi pendek apabila tokoh Besar meneruskan taklimatnya.
“Dari maklumat pakar yang saya perolehi, saya yakin dan percaya sudah sampai masa untuk negara mewujudkan satu pusat pentadbiran yang baru.”
“Satu pusat pentadbiran yang baru!!!” Semua mata ahli mesyuarat seolah-olah terpacul keluar memandang ke arah Tokoh Besar. Memang menjadi tabiat Tokoh Besar tidak memperdulikan pandangan orang lain terhadapnya. Dia selamba sahaja.
“Negara Merdeka sepatutnya tidak menggunakan kota pentadbiran bekas penjajah. Kewujudan pusat pentadbiran yang baru penting serta negara akan memperolehi banyak faedah.” Sambung Tokoh Besar.
“Bekas penjajah, negara akan dapat banyak faedah !!!” Madah ini telah membuat ahli mesyuarat berfikir seketika.
“Mengapa bekas penjajah?” Semua ahli cuba menyelami sejarah perjuangan pemimpin-pemimpin yang lalu. Gambaran sepintas lalu terbayang pemimpin-pemimpin lalu bagaimana mereka berjuang untuk mempertahankan negara dan menyekat kemaraan penjajah. Kini saki-baki penjajah harus dihapuskan kerana negara telah mencapai kemerdekaan serta menjadi sebuah negara demokrasi.
“Saya yakin tok-tok sekalian juga bersetuju supaya saki baki penjajah harus dikikis.”
“Pusat pentadbiran bekas penjajahan yang kita gunakan sekarang sebagai ibu kota tidak mampu lagi menghadapi pembangunan yang berkembang pesat sekarang.” Sambung Tokoh Besar.
“Saya tidak beberapa setuju dengan pandangan tok.” Bantah Tok Bendahari. “Perwujudan satu pusat pentadbiran negara yang baru?”
“Mengapa?” Tanya Tokoh Besar
“Pertama,”
“Pusat pentadbiran negara sekarang masih boleh digunakan.” Tok Bendahari berhenti seketika. “Kedua,”
“Sejumlah wang yang besar perlu diadakan,” Tok Bendahari memandang ke semua ahli yang lain seolah-olah cuba mendapatkan sokongan moral mereka.
“Dari jangkaan kasar saya, dijangka wang yang diperlukan tidak kurang daripada 20 billion.”
“Di samping itu, sejumlah penduduk kita dari kota akan terpaksa berpindah ke sana itu kelak. Perbelanjaannya juga terlalu besar.” Tambah Tok Bendahari.
“Tok-tok sekalian, ingin saya tegaskan bahawa dari kajian agensi-agensi yang menguruskan masalah perancangan, penyelidikan dan penyelarasan sosioekonomi mendapati mengapa kita perlu mewujudkan satu pusat pentadbiran yang baru?” Tokoh Besar cuba menarik perhatian ahli-ahli mesyuarat sekalian.
“Kerana?”
“Pertama,”
“Negara memerlukan sebuah pusat pentadbiran negara yang moden dan efisien. Ini baru sesuai dengan prinsip sebuah jentera pentadbiran yang efisien serta yang boleh bersaing di peringkat global.”
“Kedua,”
“Kita juga harus memastikan pentadbiran negara yang cekap ini dapat memberi perkhidmatan yang berkualiti serta berkesan kepada orang ramai.”
“Ketiga,”
“Ibu kota kita sekarang sudah kekurangan tanah untuk menampung ruang pejabat.”
“Keempat,”
“Peningkatan kos sosioekonomi dialami oleh ibu kota kita disebabkan kesesakan lalu lintas, kesukaran perjalanan dan perhubungan, mengakibatkan kehilangan masa dan sumber.”
“Kelima,”
“Kepesatan dan tekanan pembangunan yang dialami oleh ibu kota memerlukan perbelanjaan yang besar untuk menyediakan kemudahan dan utiliti tambahan.”
“Dengan wujudnya satu pusat pentadbiran yang baru, kedudukan ibu kota akan lebih selesa, teratur dan mempunyai ruang untuk berkembang agar mempunyai semangat daya maju serta mampu bersaing dengan ibu kota-ibu kota lain di rantau ini.” Terang Tokoh Besar dengan panjang lebar.
“Tetapi, Tok!!!”
“Kita ada masalah, di mana hendak dicari tanah sebesar itu?” Tok Bendahari berhenti seketika.
“Kalau diikut keperluannya, tidak kurang daripada 5,000 hektar tanah untuk menampung pemindahan penduduk seramai 400,000 ribu orang kelak.” Tanya Tok Perancang Negara.
“Semua projek ada masalah.” Jawab Tok Besar.
“Bukanlah disebabkan sesuatu projek itu bermasalah maka kita tidak buat.” Tok Besar memberi penegasan.
“Kalau kita tidak menjalankan penyelidikan dan perancangan serta penyelarasan dari aspek sosioekonomi, ini baru dianggap mewujudkan projek yang kurang bijak.”
“Kalau kita tidak buat, ini baru menunjukkan kita tidak ada wawasan.”
“Kita yakin, kita boleh berjaya kerana kita telah banyak membuat kajian. Peluang kejayaan kita amat ceria.”
“Kawasan perlu dikenal pasti dan diperolehi. Bangunan harus dibina. Wang harus dicari dengan apa cara sekalipun.
“Setakat ini Negara telah mengenalpasti beberapa kawasan untuk ditempatkan pusat pentadbiran negara yang baru itu.”
“Matlamat kita hendak mengikis saki-baki penjajahan.”
“Oleh itu, saya telah membuat keputusan pusat pentadbiran yang baru wajib diwujudkan sama ada di salah sebuah kawasan-kawasan tertentu atau satu kawasan yang kita kenal pasti kemudian. Kawasan yang lebih sesuai serta viable.”
“Satu pertandingan akan diadakan tidak lama lagi.”
“Untuk mencari para arkitek dan jurubina. Dari seluruh negara tidak kira bangsa. Bagi mereka yang berjaya, akan dihantar ke luar negeri untuk mengumpul maklumat dan reka bentuk yang sesuai bagi melahirkan pelan binaan projek tersebut. Projek ini harus diuruskan oleh tenaga-tenaga tempatan sahaja. Bukan orang dari luar. Modal juga dari negara ini.” Tambah Tokoh Besar
“Untuk tujuan itu, negara akan mengenalpasti konsortium yang terdiri daripada badan-badan tertentu tempatan untuk membiayai projek tersebut.” Jelas Tokoh Besar.
“Kita juga harus memastikan apakah konsep pembangunan yang digunapakai untuk pusat pentadbiran negara yang baru itu?” Tanya Tok Perancang Negara.
“Yang itu, kita telah tentukan.” Jawab Tokoh Besar dengan selamba.
“Ia berdasarkan konsep pembangunan sejagat iaitu prinsip hubungan 3 hala yang melibatkan;”
“Pertama,”
“Hubungan manusia dengan penciptanya.”
“Kedua,”
“Hubungan manusia dengan manusia.”
“Ketiga,”
“Hubungan manusia dengan alam.”
Di luar bangunan, hujan mulai turun dengan lebatnya. Tokoh Besar merasa projek negara itu bakal mendapat berkat. Moga-moga pusat pentadbiran negara yang baru itu akan mencapai kejayaan bukan sahaja untuk kemuliaan bangsa, agama dan negara serta menjadi harum di peringkat global dan dunia.
Esok, berita besar yang tersiar di muka hadapan semua suratkhabar telah menarik perhatian banyak pihak. Pihak bukan kerajaan riuh-rendah dengan pandangan mereka terhadap projek itu. Semua dengan hujah masing-masing. Ada juga mereka mengambil kesempatan tertentu. Mereka bertanya-tanya di mana pusat pentadbiran negara itu diadakan. Semua pihak tertanya-tanya, di mana? di mana? Akan dibina pusat pentadbiran negara yang baru, di mana? Kawasan Janda Kaya? Beringin? Beruntung? Bhorga? Linggi? Atau? Semua pihak cuba meneka di kawasan mana? Serta apakah nama pusat pentadbiran negara yang baru itu? Dari aspek apa dan mana mereka akan mendapat faedah? Semua persoalan itu bermain-main di minda masing-masing? Semua cuba mencari jawapan. Peluang mencari kemewahan segera terbuka? Tetapi bila? Dan di mana? Mereka bercadang kalau boleh terlebih awal membeli tanah di sana untuk mencari faedah yang lebih besar.

RAYA MEMBAWA TUAH (12)

RAYA MEMBAWA TUAH



Perasaan meradang Hock Kim memuncak. Bintang jalang itu hendak dilumatkan. Benci betul dia kepada binatang itu. Peristiwa pagi itu menyebabkan dia benci akan binatang itu. Nyaris dia tidak dapat balik ke kampung halaman untuk berhariraya sebab pada masa yang genting itu binatng jalang tersebut muncul dengan tiba-tiba.

Tiupan bayu memukul-mukul dinding teksi. Dengan pentas, pemandangan kiri kanan jalan melewati Hock Kim dan keluarga. Lebuhraya yang melurus dengan dipagari kebun kelapa sawit dan kebun getah yang menghijau. Seolah-olah sesuatu kenyamanan menggigit jantung rasanya. Keindahan watan tercinta membuahkan perasaan yang sukar dimengertikan. Dia melihat anak-anaknya bergurau-gurauan di antara satu dengan yang lain. Budak-budak begitulah, fikir Hock Kim. Sesekali kedengaran isterinya memarahi anak-anaknya. Kemudian gurauan anak-anaknya terhenti buat seketika. Teksi terus menuju ke Selatan. Saudara mara di kampung halaman sedang menunggu ketibaan mereka. Beberapa tahun sudah mereka sekeluarga tidak balik kampung. Perasaannya terganggu seketika apabila terdengar seolah-olah Ahmad Merdeka bercakap dengannya.

“Hock Kim, awak harus berasa bertuah kerana masih ada orang tua di kampung. Kedua-dua pihak ibubapa saya sudah meninggal. Abang dan kakak-kakak sayapun tinggal di luar negeri.”

“Apabila menjelang Syawal, timbul perasaan sayu. Bagi anak-anak kami, mereka sudah tidak berkampung lagi. Kampung bagi mereka merupakan satu tempat yang asing. Anak kamu mungkin ada sepupu. Anak kami tidak ada. Mereka hanya mengenali suasana kampung apabila kami melawat ke tempat penganginan di pedalaman. Dalam diri mereka sudah tidak kenal kampung halaman lagi.”

“ Saya sendiri ada kampung tetapi tidak ada saudara mara lagi untuk dikunjungi. Kau lainlah, semuanya ada, ibubapa masih hidup;segar bugar pula. Tetapi kau masih enggan melawat mereka. Mengapa?”

Pesanan Ahmad Merdeka menyentuh perasaan Hock Kim. Tahun ini, tahun ayam mereka sekeluarga harus balik ke kampung.

Ahmad Merdeka sudah menganggap Hock Kim sebagai salah seorang saudara maranya. Mereka tinggal lama dalam satu kawasan perumahan yang sama serta tinggal sebelah menyelah pula. Mereka kedua-duapun berasal dari kampung. Mereka sama-sama pernah menikmati suasana kampung. Apabila Tahun Baru Cina atau Aidilfitri mereka sekeluarga akan kunjung-mengunjungi.

“Mengapa isteri awak tidak suka balik ke kampung?”
“Bukankah kampung itu tempat lahir kita? Tempat kita bermain dan tempat kita dilahirkan.”
“Apa salahnya kampung itu?” Ahmad Merdeka memberi penekanan kepada soalan tersebut
“Isteri saya menganggap balik kampung itu membebankan dan tidak faedah.” Jawab Hock Kim.
“Itukah sahaja sebabnya !”
“Begitulah.” Jawab Hock Kim selamba sahaja.
“Mengapa kampung asal tidak begitu dipentingkan?
Bukankah kampung itu akar umbi kita !”
“Orang kita selalu lupakan kampung halaman. Tidak begitu orang Jepuun. Mereka pentingkan tradisi dan kampung halaman. Kampung halaman menjadi tunjung mereka. Tradisi dan modern diadun bersama untuk kejayaan dan kemajuan.”
” Macam saya ini hendak kenangkan kampung halamananpun tidak boleh sebab sudah tiada kampung halaman lagi untuk dikenang. Tetapi sayangnya, insan lain yang mempunyai kampung halaman yang tercinta, tidak mahu langsung menjenguk dan melihat keindahan dan kemesraan kampung halaman.”
” Aneh juga dunia ini, kalau dikenangkan. Kita selalu lupa kepada asal usul kita. Kita juga lupakan bahasa kita. Padahal asal usul kita itu begitu penting dipelihara dan dipupuk.” Ahmad Merdeka cuba meluahkan perasaannya.

Kata-kata ayah tiba-tiba menjelma di ingatannya.
“Hock Kim itu memang susah membawa isteri balik ke kampung sebab Hock Kim tidak mahu mereka bergaul mesra dengan kita.” rungutan ayahnya.

“Setiap kali ayah suruh kamu sekelian balik kampung, ada sahaja sebab yang kamu berikan. Sebab ini. Sebab itu. Ada sahaja sebab tidak boleh balik. Banyak lagi helah yang kamu berikan.” Bentak ayah Hock.

Ibu Hock Kim berlainan sedikit. Dia tidak kisah sama ada Hock Kim sekeluarga balik kampung atau tidak. Asal ada hantar duit memadahi. Dia memberi kebebasan kepada Hock Kim membuat apa yang disukainya. Hock Kim sudah besar panjang, sudah sepatutnya tahu buruk baiknya.

Hock Kim masih teringat semasa dia kecil-kecil lagi dia telah diberi gelaran “babi menyeberangi bukit”. Kata tukang telek yang mengira hari kelahirannya, perwatakan manusia yang berbintangkan “babi menyeberangi bukit” suka berhijrah. Tuahnya terletak di negeri orang bukan di kampung halamannya. Sejak meninggalkan kampung, Hock Kim sudah beberapa kali menukar tempat tinggal dan pekerjaan. Hock Kim sepatutnya mencari rezeki di luar dari kampung. Sifat ini yang membuat dia berjauhan dari kampung halaman.

Sekonyong-konyong peristiwa pagi tadi kembali menjelma. Isterinya marah-marah apabila mengetahui bahawa bintang jalang telah memasuki bilik jahitnya. Bilik tersebut ada kain dan baju pelanggan yang baru siap dijahit dan yang belum dijahit.

“Bagaimana hendak kita balik kampung, kalau tikus sial itu berada di dalam bilik jahit saya. Habislah saya. Tikus itu akan mengoyak-goyakkan kain baju pelanggan saya. Bagaimana hendak saya ganti kain baju sebanyak itu? Selepas seminggu kita berada di kampung, baju pelanggan saya semuanya jahanam. Semuanya akan koyak. Kita harus bunuh binatang jalang itu. Kalau tidak, kita sekeluarga tidak akan balik kampung. Kau faham, cakap saya ini.” Bentak isteri Hock Kim dengan nada keras memanjang.

Hock Kim berfikir sesuatu tindakan terpaksa dibuat, sama ada membatalkan cadangan balik ke kampung atau meneruskan cadangan yang telah dirancang selama dua bulan yang lalu. Hock Kim teringat, pagi itu pintu belakang rumahnya telah awal-awal lagi dikunci oleh isterinya. Untuk memastikan rumah dikunci dengan lebih selamat, sekali lagi Hock Kim membuka semula pintu belakang rumah, sekonyong-konyong tanpa disedari seekor tikus terus memasuki ke dalam rumah lalu menuju ke bilik jahit isterinya.

Teksi yang membawa Hock Kim sekeluarga telah sampai ke pekan yang hendak dituju. Tetapi hanya tinggal beberap kilometer sahaja akan tiba ke rumah ayahnya. Hock Kim tersedar dari lamunannya. Selepas dua puluh minit, teksi yang membawa Hock Kim sekeluarga tiba di rumah ayahnya. Hock Kim sekeluarga disambut dengan meriah.

Kemarahan isteri Hock Kim masih membara. Peristiwa pagi itu menyentuh perasaannya. Ayah Hock Kim dapat menghidu kecekalaan itu sejak Hock Kim sekeluarga tiba. Daripada Hock Kim, ayahnya dapat tahu kesah tersebut.

“Kamu semua hanya mementingkan wang ringgit sahaja. Bukankah ada barang yang lebih bernilai seperti kasih sayang, kampung halaman, hariraya yang kita sambut setahun sekali. Itu yang harus kita muliakan. Tidak bolehkah kita ketepikan sejenak tanpa mengambil kira duit semata-mata? Seolah-olah segala-galanya berpandu pada duit sahaja.

“Biarlah ayah bayar segala ganti ruginya sekiranya tikus itu membawa angkara. Ayah baru menerima wang pampasan tanah arwah datuk kamu yang dibayar oleh pihak Kerajaan.”

Isteri Hock Kim mengorak senyum. Tahun ini membawa tuah. Mertuanya akan menghadiahkan sesuatu kepada keluarganya. Dalam congakannya, separuh daripada wang pampasan tanah yang dibayar oleh pihak berkuasa akan diperolehi oleh suaminya, selaku anak sulung. Hock Kim akan mendapat ratusan ribu ringgit.

Sambutan Tahun Baru Cina di rumah ayah Hock Kim pada tahun ini bertukar wajah. Semua ahli keluarga girang gembira. Senyuman isteri Hock Kim melebar. Tahun hadapan mereka akan menaiki kereta sendiri balik ke kampung. Kampung halaman membawa tuah kepada mereka sekeluarga.

LAUT, BOT, SEORANG NELAYAN (11)

LAUT, BOT, SEORANG NELAYAN


Deruan bayu dari Selat Melaka yang dingin tidak dapat mententeramkan jiwa Kam Lee yang bergelora. Kampung Kuala Sungai Baru telah menjadi kampung halaman ayahnya ,Hai Gong semenjak ayahnya masih muda-muda lagi. Semenjak kecil, lautlah menjadi tempat mandiannya. Ayahnya menjadikan laut tempat mencari rezeki. Adik beradiknyapun membesar melalui hasil tangkapan dari Laut Selat Melaka. Pernah dia tertekan di tepi perahu disebabkan terlalu letih semasa mendayung menyebabkan perahu ayahnya terbalik dan kedua-duanya jatuh ke dalam laut. Dia dan ayahnya terselamat sebab perahu sudah berada tidak jauh dari tepi pantai. Peristiwa itu masih jelas terpahat dalam ingatannya. Semasa itu mereka ke laut dengan membawa jaring pukat hanyut yang bermata kecil untuk menangkap ikan kekasih dan ikan selangat. Ikan kekasih dan juga ikan selangat jika terkena jaring pukat hanyut mereka dengan jumlah yang banyak. Kadang-kala sampai beribu-ribu ekor banyaknya. Isi ikan kekasih dan ikan selangat sangat sedap dimakan tetapi banyak tulang. Harga ikan-ikan itu terlalu murah di pasaran.

Semenjak ayahnya meninggal dunia, Kam Lee telah banyak berubah. Dia telah menggunakan bot yang bermotor, buatan Jepun bukan perahu kecil milik ayahnya lagi. Berkuda besar dan menggunakan minyak diesel. Jika dahulu perahu kecil ayahnya boleh mengancam nyawa ayah dan dirinya, kini, botnya sentiasa memberi perlindungan kepada diri dan awak-awaknya. Botnya itu dijangka akan berpisah dengannya. Ini yang membimbang dan membingungkan dirinya. Nyawa botnya tidak panjang lagi. Mungkin dia terpaksa berpisah dengan botnya, jelas terbayang. Masanya tidak lama lagi, dua belas bulan lagi.

Dia memandang jauh ke Selat Melaka memikirkan bagaimana dia boleh menyelamatkan botnya supaya hak miliknya masih kekal pada dirinya. Botnya tidak akan bertahan lama. Usia Kam Lee juga telah lanjut, ini merupakan satu faktor, dia terpaksa berpisah dengan botnya. Akhir-akhir ini di telinganya sering kedengaran suara menyatakan,”Kamu sudah tua, kamu sudah nyanyuk, lupakan sahaja laut, laut mengancam nyawa, kamu telah tua, tenaga kudrat sudah semput dan tulang-tulang kamu sudah reput, lupakan sahaja laut. Laut mengganas. Laut untuk mereka yang muda. Kini, zaman orang-orang muda. Bukan kamu lagi yang tua-tua .” Suara-suara sumbang itu menyakitkan dirinya. Benarkah diri nya sudah tua ?

Selat Melaka yang diliputi kabus, dilihatnya sekali lagi. Pulau Undan jauh sayup berbalam-balam kelihatan di hadapannya. Ada harapankah baginya untuk mempertahankan hak botnya itu ? Jaring pukat hanyutnya tidak menangkap ikan kekasih atau ikan selangat lagi ,sebaliknya, menangkap Ikan tenggiri, ikan parang, ikan bawal, ikan yu, ikan kembung dan sebagainya. Ikan tangkapannya selalu dijual melalui orang tengah. Sudah lumrah orang tengah akan mengenakan faedah ke atas setiap jualan.Dikenakan bayaran sebanyak tujuh peratus bagi nelayan yang berhutang dengan taukeh, bagi yang tidak berhutang, bayaran tetap dikenakan sebanyak lima peratus. Kam Lee sedar walaupun orang tengah merupakan lintah darat dalam kehidupannya selama ini tetapi ancaman yang bakal dihadapinya ini lebih besar, mencabar dan getir untuk dia seorang menghadapinya.

Orang tengah telah mengancam hidupnya bertahun-tahun lama. Dia sedar dan faham tindak tanduk orang tengah. Bukan sahaja bayaran yang dikenakan menyusahkan Kam Lee, tetapi sistem jual lelong yang berbentuk berbisek-bisek yang dijalankan oleh taukeh-taukeh ikan itu juga mengancam penghidupnya dan kawan-kawan yang lain. Dia selalu menyuarakan penderitaannya itu kepada kawan-kawannya yang bukan nelayan sambil berkata,” Semua itu adalah ancaman yang perlu dihadapi oleh manusia yang dikenali sebagai seorang nelayan sepertinya di samping ancaman keganasan ombak dan air laut Selat Melaka. Kalau takut ombak, jangan dirikan rumah di tepi pantai, inikan pula dia seorang nelayan.” Dalam usia setua Kam Lee sekarang, dia selalu menyuarakan protesnya kepada isterinya, mengapa dia perlu menghadapi hidup yang lebih getir daripada ayahnya. Apakah kesalahannya? Tidak ke laut adakah menjadi satu kesalahan besar, hingga harta milik terpaksa dijual atau ada sebab-sebab yang lain, Adakah kawasan laut untuk menangkap ikan telah menjadi lebih kecil atau menyempit ? Atau disebabkan bahana tambakan laut atau sisa-sisa pepejal buangan ke dalam sungai serta menuju ke laut serta mencermakan air laut. Serba serbi kemungkinan boleh berlaku sehingga laut yang beribu-ibu tahun bersemadi kini telah hilang harta khazanah yang terbesar serta bernilai, iaitu ikan. Semua boleh terjadi ? Persoalan-persoalan ini berbuai-buai di benak Kam Lee. Sekonyong-konyong terdengar suara yang terkeluar dari mulut pegawai itu membuat Kam Lee tersentak.

“Encik mesti pergi sendiri. Lesen ini atas nama encik,” tegas pegawai itu kepada Kam Lee.
“Perkara ini telah saya katakan tahun lepas lagi, di pejabat ini. Semasa encik hendak membaharui lesen ini. Di belakang lesen yang lama inipun telah kami catatkan syarat-syaratnya. Pemilik mesti pergi sendiri termasuk awak-awak. “

“Encik mengerti ?” Pegawai itu cuba memperingatkan Kam Lee.
“Tahun ini tahun yang terakhir. Tahun hadapan encik tidak perlu datang ke pejabat ini lagi. Sebab kami tidak akan membaharui lesen encik lagi.”
“Saya faham tuan. Saya ucapkan terima kasih atas nasihat tuan itu. Tapi…”
“Tapi apa ?” Tanya pegawai itu.
“Keadaan diri saya. Cuba Tuan tengok diri saya ini. Bolehkah saya pergi lagi. Umur sayapun dah lanjut.”
“Itu kami Faham. Tapi kami terpaksa ikut arahan. Kami tidak boleh menolong encik. Kami tidak mempunyai kuasa seperti itu. Ini arahan dari Ibu Pejabat. Mereka suruh sampaikan arah kepada encik. Ini yang kami lakukan.”
“Tidak bolehkah dilanjutkan lagi tempohnya ?”Tanya Kam Lee.
“Itupun kami tidak tahu. Yang kami tahu. Perkara ini sedang dibahaskan di Parlimen. Kalau diluluskan, ia menjadi undang-undang maka penguatkuasaannya akan dijalankan. Ini bererti pada permulaan tahun depan, setiap pemilik lessen bot mesti pergi sendiri. Pihak encik boleh buat bantahan kalau tidak setuju.”
“Boleh kami bantah ?”
“Boleh.” Jawab pegawai itu secara selamba sahaja.
“Negara kita ini mengamalkan prinsip demokrasi. Tiap-tiap orang boleh menyuarakan pendapatnya dengan had-had tertentu. Ini termasuk diri encik. Encik juga ahli koperasi. Mungkin koperasi kawasan encik boleh turut sama dalam bantahan itu. Wakil rakyat kawasan encik mungkin boleh membantu sama. Berjaya atau tidak, terpulanglah kepada kebolehan encik dan rakan-rakan encik.”
“Mengapa encik perlu membantah ?”
“Bukankah dalam usia setua encik ini tidak perlu bekerja lagi ?Berehat sahaja di rumah. Jualkan lessen dan bot encik yang ada sekarang kepada mereka yang mampu pergi serta bertenaga kuat. Encik sudah tentu mempunyai anak. Biarlah anak-anak encik memelihara encik. Itulah tanggungjawab mereka. Memelihara ayah yang sudah tua. Bukankah begitu ?”
“Anak !” Kam Lee tersenyum sinis.
“Anak, saya ada. tetapi mereka masih bersekolah lagi. Sebab saya kahwin dalam usia yang lanjut. Masa muda saya sibuk mencari rezeki. Harta yang ada pada saya ialah lesen yang di depan tuan itu dan sebuah bot. Itulah harta tunggul saya sekarang Sebagai nelayan, hartanya ialah bot dan alat-alat tangkapan.” Jawab Kam Lee bagi menjelaskan persoalan pegawai berkenaan.
“Pada akhir tahun ini, pihak tuan pula hendak ambil balik satu lagi harta saya.”
“Di mana lagi tempat saya hendak bergantung ? Harta lain, saya tidak ada. Kalau encik suruh saya jual harta yang ada itu, bagaimana saya hendak memberi makan dan memelihara anak-anak saya yang masih bersekolah itu. Hendak mencari kerja lain, saya tidak mampu kerana usia saya sekarang sudah terlalu lanjut. Hendak disuruh anak-anak bekerja, mereka masih di bangku sekolah lagi.”
“Saya bersimpati dengan encik. Tapi apa yang boleh kami buat, di samping memberi nasihat kepada encik dan mengikut arahan.” Pegawai itu cuba memujuk Kam Lee.
“Saya sedar tugas dan tanggungjawab tuan di pejabat ini memang berat. Tuan tidak mempunyai kuasa kecuali mengikut perintah. Saya tidak perlu bertengkar dengan tuan. Bertengkar pun tidak mendatangkan apa-apa faedah. Undang-undang ini bukan dibuat oleh tuan di sini. Semua ini datang dari Ibu Pejabat. Apa yang saya kesalkan ialah kami tidak dihubungi semasa undang-undang digubal. Berilah kami kesempatan untuk menyuarakan pandangan dan masalah kami. Buat kajian tentang masalah kami. Perkara-perkara perlu ditinjau dan disemak bersama untuk mendapat natijah yang sewajarnya sebelum sesuatu akta diwujudkan. Harus dipinta pandangan pelbagai lapisan masyarakat bagi mewujudkan sesuatu akta itu, bukan” Kam Lee menyuarakan pandangan secara jujur.
“Memang tujuan tiap-tiap undang-undang itu baik. Tapi kadangkala ia mendatangkan penderitaan kepada sebilangan orang tertentu. Ini tidak dapat dielakkan lagi. Begitu juga bila kita inginkan pembangunan, kadangkala ia menjejaskan alam sekitar kita. Ada juga orang-orang mencari rezeki dari kawasan alam sekitar turut terjejas. Ini tidak dapat dielakkan. Begitu dalam kes encik ini. Undang-udang mengatakan pemilik bot mesti pergi ke laut menangkap ikan. Ini bererti mereka yang tidak ke laut tidak boleh memiliki bot menangkap ikan. Bukankah begitu ? Tapi sekarang encik berada dalam keadaan dilema. Hendak pergi ke laut, tidak berupaya sebab sudah tua. Tidak pergi ke laut, bot terpaksa dijual. Mata pencarian akan hilang dan tertutuplah sumber pencarian untuk menanggung anak-anak.” Pegawai itu cuba memberi sedikit pandangan.
“Saya setuju dengan pendapat tuan itu. Itulah keadaan saya sekarang.Hendak jual bot saya itu dengan lesen di depan tuan itu. nilainya tidaklah seberapa, tidak cukup pun untuk menanggung kelaruga saya. Perkara inilah yang menyebabkan saya menjadi serba salah. Saya tentu akan senang hati sekiranya lesen ini dapat diperbaharui tahun demi tahun.”
“Encik tidak perlu bersusah hati sekarang. Encik masih mempunyai masa selama dua belas bulan untuk mencari jalan untuk memperolehi sumber lain untuk menanggung keluarga encik.”
“Ambillah lesen buat tahun ini dahulu. Suruhlah awak-awak encik pergi ke laut menangkap ikan untuk selama dua belas bulan lagi. Selepas itu, sila jualkan bot encik itu. Ini kehendak undang-undang. Undang-undang telah memberi banyak masa untuk encik mencari sumber lain bagi penghidupan baru. Hujan renyai-renyai mula turun. Sang bayu mula bertiup dengan kencang. Sekeliling pantai mula gelap gelita, pokok mengkuang berbuai-buai ditiup angin. Pemandangan Laut Selat Melaka bertambah kabur dilihat.
“Bangunlah, bos.” Gerak awak-awaknya.
“Saya bermimpi, rupanya.” Kata Kam Lee.
Keadaan sekeliling bertambah gelap, hujan lebat akan turun bila-bila masa.

LI CHUAN SIU (10)

LI CHUAN SIU TOKOH PENULIS TIONGHOA DALAM BAHASA
KESUSASTERAAN MELAYU DAN INDONESIA ?

Kehebatan seseorang penulis itu bukan setakat terletak kepada pencanangan oleh akhbar selalu. Karya-karya nukilan penulis itu akan secara langsung atau tidak langsung membawa citra penulis ke persada seni kehebatan yang sebenar bidang yang diceburinya. Pandangan ini serasi jika dikaitkan dengan Drs. Li Chuan Siu..

Karya-karya yang dihasilkan oleh Li sendiri telah dapat mengetengahkan namanya di kalangan penulis Tionghoa yang mahir berbahasa Melayu dalam persuratan Melayu Malaysia dan Indonesia. Walaupun, kelihatan tidak banyak menghasilkan hasil karya dalam seni sastera per se tetapi kecenderungan dan kesungguhan beliau membuahkan karya dalam bahasa dan kesusasteraan Melayu amat dikagumi bukan sahaja oleh pengkaji kesusasteraan Melayu di kalangan orang Melayu dan juga bukan Melayu. Di samping itu, beliau juga mahir dan mempunyai keupayaan melahirkan karya-karya yang berkaitan Bahasa Melayu dan Indonesia dalam Bahasa Cina dan Inggeris. Beliau juga boleh menguasai tulisan Jawi dengan baik dan pernah mengajar kepada mahasiswa-mahasiswanya.

Sekiranya ditinjau Riwayat hidup tokoh penulis ini, sudah tentu, kita dapati ragam hidup beliau yang ditempohinya di pelbagai tempat untuk menimba ilmu dalam Bahasa Mandarin, Melayu dan Indonesia serta Inggeris telah menjadikan beliau berupaya menjawat dan menyandang sebagai pensyarah di Indonesia, Singapura dan Australia. Namanya terjelma juga di dalam persada kesusasteraan Melayu di Malaysia. Walaupun, beliau sendiri mungkin tidak pernah mengajar bahasa dan kesusasteraan Melayu di universiti-universiti Malaysia kecuali memberi ceramah.

Berdasarkan persekolahan beliau di Indonesia dan juga di China sudah jelas bahawa pengalaman beliau itu telah berupaya membentuk kekuatan tokoh ini dalam penguasaan Bahasa Mandarin dan Bahasa Melayu dengan amat baik. Perjalanan hidupnya yang banyak merantau turut menjanakan beliau bagi mahir dalam bahasa Mandarin Bahasa Melayu dan Indonesia selain berupaya menguasai bahasa-bahasa dunia lain.

Walaupun setakat ini LI CHUAN SIU tidak ada karya kreatif yang membolehkan beliau dilebalkan sebagai seorang penulis fiksyen tetapi penglibatan beliau dalam menghasilkan karya persuratan dalam Bahasa Melayu telah meningkatkan martabat beliau sebagai seorang penulis Tionghoa yang berbakat dalam berkarya dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia. Ini terjelma hasil dari kesungguhan , kerajinan dan ketekunan beliau meneliti bahasa dan kesusasteraan Melayu sendiri serta menghasilkannya dalam bentuk buku. Buku-buku yang dihasilkan memang menakjudkan para pengkaji dan peminat kesusasteraan Melayu dan Bahasa Indonesia.

Penglibatan dunia beliau di beberapa buah Menara Gading di negara-negera ASEAN dan Australia termasuk China banyak melahirkan graduannya. Kehebatan beliau dalam bahasa Melayu berdasarkan bidang akademik yang dipegang olehnya memang tidak boleh dinafikan Li Chuan Siu sudah sepatutnya diberi anugerah tertentu. Walau bagaimanapun kita dapati setakat ini masih belum ada usaha dijalankan bagi mencalonkan beliau untuk mendapatkan sebarang anugerah.

Kajian yang lebih teltii harus dijalankan bagi meninjau lebih mendalam terhadap karya-karya yang dihasilkan oleh Li Chuan Siu serta satu penganugerahan yang sewajar dan setimpal dengan jasa-jasnya dimartabatkan.

TOKO BUKU ABBAS BANDUNG (9)

TOKO BUKU ABBAS BANDUNG MENJADI KENANGAN RAMAI PENULIS MELAKA


Setiap kali balik kampung untuk berhari raya, sebuah kedai yang sentiasa ingin saya kunjungi dan lawati ialah Toko Buku Abbas Bandung di Melaka.

Bagi penulis-penulis kelahiran Melaka yang gemar akan novel-novel Melayu dan buku-buku kesusasteraan Melayu, Toko Buku Abbas Bandung akan menjadi tempat untuk mereka mendapatkan buku-buku sastera.

Kedai buku itu juga menjadi tempat mereka bertemu, berkumpul dan ada masanya untuk berbincang perkara-perkara mengenai kesusasteraan Melayu atau kegiatan penulis dan persatuan-persatuan penulis di Melaka.

Kebanyakan tokoh persatuan penulis Melaka itu sering dan kerap berkunjung ke kedai buku berkenaan.
Penulis-penulis seperti Asmad. , Ajikik, Moktar Yassin, Ahmad Taib, Dr. Othman Puteh dan ramai lagi penulis yang lain akan menjadikan Toko Buku Abbas Bandung sebagai tempat sama ada mereka untuk bercoleteh mengenai sastera tanah air atau kegiatan sastera di Melaka atau mendapatkan buku-buku sastera.

Kini Toko Buku Abbas Bandung sudah lama tidak ada lagi. Kenangan lama tentang kegiatan sastera di kedia buku itu masih jelas terpahat.

Bagi penulis-penulis yang sezaman dengan penulis akan mengingati kenangan manis mengenai kegiatan sastera yang berlaku di kedai tersebut.

Pada 60-an, 70an dan 80-an Toko Buku Abbas Bandung itu boleh dianggap sebagai “mini Dewan Bahasa dan Pustaka” di Melaka pada masa itu.

Ramai tokoh sastera di Melaka pernah berkumpul dan berbincang mengenai sastera di sana.

Pada zaman kegemilanganya, terdapat juga banyak novelis terkenal tanah air menghantar karya mereka kepada Toko Buku Abbas Bandung untuk diterbitkan.

Kini semua itu telah menjadi kenangan silam untuk penulis veteran di Melaka.

Tuanpunya Toko Buku Abbas Bandung ialah Tuan Haji Abbas Bandung bin Yatim merupakan seorang ustaz dari Sumatra. Tuan Haji Abbas Bandung pernah memberitahu penulis bahawa sebelum menjadi seorang penerbit pelbagai pekerjaan yang dilakukan.

Beliau tiba di Melaka pada tahun 1937, merupakan seorang ustaz muda, mula-mula beliau mengajar Al-Quran kepada penduduk-penduduk di sekitar Kampung Banda Kaba Melaka

Kemudian beliau belajar menjahit baju dan sulam menyulam dari seorang Indonesia yang menumpang di rumahnya.

Dengan kemahiran tersebut, beliau mendapat ramai pelanggan yang terdiri daripada nyonya peranakan golongan pertengahan di sekitara bandar Melaka.

Pada tahun 1942, Tuah Haji Abbas Bandung mula berniaga di kedai sendiri apabila seorang Betawi Tionghoa menjual kedai kepadanya.

Tidak lama itu, Jepun menyerang Malaya.

Pada zaman Jepun pelbagai pekerjaan beliau lakukan seperti menjual ikan kering, petai, air batu Bandung di Bandar Melaka.

Apabila British kembali, Tuan Haji Abbas Bandung mula benar–benar berniaga termasuk menjual songkok.

Dunia perniagaan buku hanya diceburinya pada tahun 1957 dengan menjual buku keluaran Indonesia.

Dari waktu itulah beliau mula bertapak menjana menjadi seorang penerbit dan toko buku yang terkenal di Malaysia sedikit masa lalu..

Kini toko buku dan penerbit yang terkenal ini di seluruh negara yang pernah menjadi rebutan para pengkiritik dan penulis untuk buku-buku mereka diterbitkan hanya tinggal kenangan sahaja.

Senja Di Kem Warisan (3)

Senja Di Kem Warisan

Suasana senja di tebing sungai Kem Warisan yang tenang serta dipenuhi dengan pokok-pokok nipah dan diselang-seli pula pokok-pokok bakau mengimbau ingatan manis dan perasaan takut Cikgu Kamis.

Perasaan manis timbul kerana terdapat bermacam-macam pokok buah-buahan pelbagai jenis tumbuh subur. Penghuni bermastautin di bawah pokok-pokok buah beraneka jenis seolah-olah hidup di “resort” binaan manusia. Musim buah merupakan satu pesta penghuni Kem. Perasaan gerun dirangsang oleh kemunculan sang buaya pada waktu senja di sungai yang airnya biru, kadang kala berkelodak seperti air sawah dan malam pula membawa pelbagai kenangan penjelmaan makhluk ajaib di larut malam yang unik dan menggerunkan.

Sudah menjadi kebiasaan pemilik atau operator Kem menyewa dari tuan tanah tertentu untuk dijadikan kem latihan. Kebun buah-buahan terbiar atau tanah pinggir hutan dipilih. Diratakan. Didirikan pejabat untuk kegunaan staf urusetia. Pokok buah-buahan tradisi seperti jering, manggis, belimbing dan sebagainya dikekalkan di sana sini dalam kem yang difikirkan perlu dan mustahak. Juga didirikan kantin, rumah memasak dan bilik stor.

Kelas harus ada. Kem mempunyai bilik kelas untuk Latihan Dalam Kumpulan. Tidak kurang daripada 12 kelas didirikan. Disediakan kerusi, papan hitam, marker serta alat-alat tulis yang lain. Ini pun tidak mencukupi, harus ada pelatih. Pelatih didatangkan atas kehendak Akta. Jumlah pelatih setiap kem mempunyai kira-kira 350 orang. Sebuah kelas menghuni 25-30 orang. Selain itu, kem harus ada jurulatih. Bilik Dorm pelatih lelaki dan wanita terletak berjauhan antara satu sama lain. Begitu juga bilik Dorm bagi jurulatih lelaki dan wanita.

Cikgu Kamis teringat pandangan seorang penulis mencadangkan bagaimana mereka yang pakar tidak ditawarkan bertugas di kem-kem. Cikgu Kamis tersenyum sahaja. Pandangan itu seolah-olah telah terjawab oleh kata-kata ketua jurulatih TOTnya.

“Mereka bukan mahasiswa. Tak perlu pakai pensyarah atau pakar. Fasilitator mencukupi. Pihak berwajib pun berpandangan begitu. Tugas kita bukan sebagai cikgu mereka, seperti di kelas mereka dahulu; tugas kita ialah membimbing atau melakukan mudahcara bukan mengajar mereka. Walaupun kita dipanggil sebagai cikgu, kita hanya tunjukkan prosedur atau aturcara yang perlu diikuti untuk memahami sesuatu konsep modul itu. Yang tepat, kita hanya melakukan mudahcara atau sebagai fasilitator.”

Fikiran Cikgu Kamis, selaku ketua jurulatih Modul Kenegaraan tersentak apabila keretanya memasuki jalan menuju ke Kem Warisan. Keretanya terpaksa diperlahankan. Tidak jauh permulaan masuk ke Kem, terdapat batang-batang besi membentuk jambatan terletak melintasi di tengah-tengah jalan. Kereta Cikgu Kamis terhoyang-hayang melaluinya. Meter kereta menunjukkan angka 20 sahaja. Jarum meter memanjat ke atas dan ke bawah. Pergerakan kereta terpaksa diperlahankan lagi. Jalan yang dilalui merupakan tanah merah yang tidak rata. Kereta Proton Iswaranya memasuki kem sejauh 3.5 kilometer dari Jalan Besar.

Mata Cikgu Kamis liar memandang kepada sepucuk surat. Dia teringat jelas kata-kata yang terpahat dalam surat itu. Kata-kata dalam surat itu menghendakinya pergi ke kem berkenaan dan pada tarikh yang ditetapkan. Surat itu berbunyi, “Harap maklum bahawa kegagalan tuan untuk mematuhi Notis ini adalah satu kesalahan dan jika disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara untuk tempoh tidak melebihi 3 bulan atau kedua-duanya.”

Madah keras surat itu tidak menakutkannya Cikgu Kamis sebagai bekas guru. Walaupun tugas ini baru tetapi tugas tersebut tidak mencabar bagi Cikgu Kamis sebab tugas ini tidak jauh dari dunia pendidikan. Sebagai guru yang pernah mendapat pelbagai hadiah cemerlang, Cikgu Kamis akan mencurahkan ilmu yang ada di dada bagi memastikan pelatih mementingkan perpaduan dan kerjasama di antara kaum. Mereka harus mencintai negara, bangsa, agama dan tanahair tercinta ini. Mereka juga disedarkan mengenai masalah sosial, gangsterisma dan konflik kaum. Generasi pelapis kini harus ditanam semangat berupaya bekerjasama di antara satu sama lain bagi kemakmuran dan kemajuan negara ini.

“Ini Cikgu Kamiskah?” Kata Kem Komandan.
“Ya.” Jawab Cikgu Kamis selamba.
“Sila masuk.” Desak Kem Komandan yang berpangkat mejar dari TUDM
“Cikgu Kamis tahukah jadual Modul Kenegaraan. Kali ini ia berjalan selama 6 minggu.” Soal Kem Komanden kepada Cikgu Kamis.
KK seolah-olah ingin memaklumkan kepada Cikgu Kamis.
“Minggu pertama: Modul Silang Budaya dan Sistem Nilai. Lima minggu yang lain ialah Modul Kenegaraan. Pada sebelah malam pula Modul Penghayatan Sastera dan Budaya dari Dewan Bahasa dan Pustaka selama seminggu.” KK cepat menjelaskan.
Dia mungkin berpendapat Cikgu Kamis tidak tahu.
“Saya baru tamat kursus TOT Modul Sistem Nilai. Tahulah saya bagaimana hendak menyampaikan ilmu itu kepada anak-anak buah serta pelatih.” Jelas Cikgu Kamis dengan hormat bagi meyakinkan KK.
“Ia tak ia.” Kata KK secara spontan. Kini dia teringat apabila “anak buah” disebut oleh Cikgu Kamis.
“Baru saya ingat. Pada saya ini, ada senarai nama anak buah cikgu, seramai 15 orang.”
“Cukuplah tu.” Jelas Cikgu Kamis dengan pantas.
“Boleh saya cadangkan, memandangkan di kem ini ada 12 kelas, dua orang cikgu itu boleh menjadi pembantu cikgu. Seorang jadi penolong. Seorang lagi jadi penjaga logistik. Jika ada cikgu yang cuti atau yang tak dapat masuk kelas, cikgu-cikgu yang lain itu bolehlah bergilir-gilir mengambil alih tugas sebagai cikgu.”
“Semua mereka telah menghadiri kursus TOT. Semua mereka boleh menjadi fasilitator. Tuan jangan bimbang. Cadangan tuan itu akan saya laksanakan.”

Cikgu Kamis membuat janji kepada KK. Cikgu Kamis menyedari bahawa KK ini lembut orangnya. Dia amat yakin dan percaya Cikgu Kamis selaku KJ dapat menjalankan tugas yang diamanahkan oleh pihak berwajib dan pihak kem dengan sebaik-baiknya.

“Selain cikgu Modul Kenegaraan, kem ini juga ada cikgu Modul Fizikal. Cikgu Modul Kenegaraan harus boleh bekerjasama dengan cikgu Modul Fizikal serta anak-anak buahnya. Bekerjasama terutama dari segi penyusunan masa aktiviti kelas. Walaupun pihak berwajib telah ada jadual, mungkin, adakala kita perlu membuat sedikit perubahan. Cikgu dan KJ Fizikal boleh membuat penyelerasan.” Tegas Timbalan Kem Komanden Latihan.

“Bekerja dengan saya tidak ada nonsense. Saya akan tegur secara direct. Salah, saya akan kata salah. Saya tak gemar jurulatih keluar dari kem tanpa menulis dalam buku rekod.” Desak Timbalan Kem Komanden Latihan secara serius. Dia merenung tajam kepada KJ Kenegaraan dengan ingatan bahawa tindakan akan diambil sekiranya tidak mengikut arahannya.

“Mulai dari hari esok, saya mahu jurulatih-jurulatih Modul Kenegaraan menjalankan aktiviti malam.” Timbalan Kem Komanden Latihan memberitahu Cikgu Kamis kehendaknya.

“Tuan, dalam jadual tugas kami tidak disebut kami ada tugas malam?” Luah Cikgu Kamis secara bersungguh-sungguh bagi meyakinkan TKKL.

“Jika kamu semua tidak mahu menjalankan aktiviti malam, siapa pula yang akan menjalankan kerja-kerja tersebut. Tak akan jurulatih Modul Fizikal akan mengambil alih tugas sebelah malam?” TKKL cuba memberi hujahnya.
“Tapi … tapi … tapi … dalam surat pelantikan kami tidak disebut pun kami kena kerja malam.” Cikgu Kamis seolah-olah tergamam dengan hujah TKKL itu.

“Saya tak tahu. Dalam pandangan saya, anak buah cikgu boleh menjalankan tugas tersebut. Contohnya mengadakan aktiviti kebudayaan dan sastera. Adakan pertandingan Dikir Barat, Boria, Dondang Sayang dan sebagainya.”

TKKL memandang ke arah Cikgu Kamis bagi mendapatkan jawapan tetapi Cikgu Kamis hanya terpegun tanpa memberi sebarang jawapan. Matanya liar memandang ke siling bilik urusetia, seolah-olah untuk mendapatkan jawapan yang meyakinkan untuk diberitahu kepada TKKL.

“Kerja yang mudah itupun susah ke? Tidakkanlah di kalangan kamu tidak ada jurulatih yang boleh menjalankan tugas tersebut.” TKKL cuba menenangkan fikiran Cikgu Kamis yang sedang berkecamuk dengan masalah tersebut.

“Baiklah tuan. Saya akan cuba memastikan ada anak buah saya yang boleh menjalankan tugas pada sebelah malam.” Jawab Cikgu Kamis secara selamba.

“Jangan khuatir sangat, kerjanya bukanlah susah. Saya dengar Dewan Bahasa dan Pustaka juga ada rancangannya sendiri. Modul Penghayatan Sastera dan Budaya. Mungkin pada malam-malam tertentu mereka juga akan mengajar modul mereka itu. Contohnya, mengadakan aktiviti menyanyi lagu-lagu patriotik berdasarkan buku puisi tertentu. Mendeklamasikan sajak, gurindam, syair mengenai puisi tradisi. Saya dengar mereka akan menggunakan waktu malam, selama 6 malam. Mereka akan mulakan tiga malam pertama. Selepas itu mereka akan berehat selama 3 hari berikutnya mereka akan sambung melakukan aktiviti mereka selama 3 malam lagi. Dan pihak berwajib juga ada program-program tertentu pada malam hari. Saya dengar ada pihak kolej kerajaan akan mengadakan ceramah kepada para pelatih.” TKKL cuba meyakinkan Cikgu Kamis bahawa beban menjalankan aktiviti malam itu bukanlah secara total diambil alih oleh jurulatih Kenegaraan sahaja. Ada juga pihak-pihak tertentu akan bertanggungjawab menjalankan aktiviti-aktiviti pada malam hari.”

“Oklah tuan. Saya berjanji akan membincangkan perkara ini dengan anak-anak buah saya. Jurulatih-jurulatih Kenegaraan akan mengadakan aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk para pelatih pada malam hari kelak.” Jawab Cikgu Kamis.

“Cikgu Kamis, ada 2 perkara lagi, ingin saya maklumkan. Pertama, jurulatih Kenegaraan juga harus melibatkan diri dalam aktiviti PT setiap pagi dan mereka juga pada masa-masa tertentu diwajibkan memakai pakaian full celoreng.” TKKL menjelaskan kehendaknya kepada Cikgu Kamis.

“Ia, Tuan.” Cikgu Kamis pun beredar keluar dari bilik TKKL dan menuju ke Dorm jurulatih lelaki. Dia tidak menyalahkan TKKL, memang tugasnya untuk mengarahkan jurulatih-jurulatih menjalankan aktiviti yang diperlukan oleh pihak kem.

Cikgu Kamis menghadapi delima. Bagaimana dia hendak memaklumkan kehendak TKKL kepada anak buahnya. Seolah-olah keadaan yang sukar dihadapi ini mirip masalah yang dialami semasa dia melalui pertengahan jalan masuk ke Kem Warisan tempoh hari. Sama ada dia harus menentang pihak berwajib, Kem Komanden dan Timbalan Kem Komanden Latihan mengenai perkara-perkara yang dicadangkan serta diwajibkan kepadanya untuk dilaksanakan. Bagaimana dia hendak meyakinkan anak buahnya bahawa mereka, jurulatih Kenegaraan, harus melaksanakan tugas-tugas tersebut pada waktu malam. Dia juga menerima khabar angin bahawa anak buahnya juga kena meronda pada waktu malam. Sebagai cikgu yang menjalankan aktiviti di dalam kelas, pada waktu pagi adakah mereka diwajibkan juga meronda pada waktu malam? Tetapi Cikgu Kamis teringat pada surat lantikan bertugas telah dinyatakan mereka wajib bertugas meronda pada waktu malam. Persoalan-persoalan ini sedang bercambah dalam benaknya. Bagaimana? Bagaimana? Dia harus mengambil keputusan. Kalau jawapannya dia tidak mengikut arahan pihak kem sudah tentu dia akan dilucutkan jawatannya sebagai KJ atau Ketua Jurulatih Kenegaraan. Sekiranya jawapannya sebaliknya iaitu menyokong cadangan pihak pengurusan kem, ini bererti dia akan terpaksa memujuk atau memaksa anak buahnya melakukan perkara-perkara yang dicadangkan oleh pihak kem. Kini dia dalam delima.

Suasana senja di tepi sungai Kem Warisan menggelapkan pandangannya lagi. Cerita-cerita gerun penjelmaan makhluk ajaib yang sering didengar yang disampaikan oleh penghuni di kem tersebut bertambah berat lagi pemikirannya. Pokok-pokok nipah dan pokok-pokok bakau yang sekali sekala tergoyang semasa Sang Bayu meniup tidak dapat menenangkan fikirannya yang berkecamuk. Keputusan yang bagaimana perlu diambil. Memprotes atau bersetuju dengan padangan pihak kem. Atau ada cara lain? Yang mana harus dia pilih sebagai ketua jurulatih. Menentang, dia akan hilang peluang bertugas sebagai ketua jurulatih di kem. Jalan mana perlu dipilih. Ini mengingatinya mengenai masalah yang dihadapi semasa dia melalui pertengahan jalan masuk ke Kem Warisan. Sama ada dia memilih jalan ke kiri atau ke kanan.

Padahal pada hari pertama melapor diri, Cikgu Kamis melihat papan tanda di luar jalan besar mencatat 3.5 km untuk sampai ke Kem. Semasa keretanya sampai di persimpangan jalan di tengah-tengah jalan ke kem, dia berada kira-kira 2.5 km dari jalan besar. Jalan di hadapannya ada dua simpang: satu ke kiri, satu ke kanan. Dia harus membuat keputusan. Dia mendapati jalan di sebelah kiri tidak licin dan tidak rata. Ini menunjukkan jalan sebelah kiri kurang dilalui oleh kenderaan padahal jalan sebelah kanan permukaan jalannya licin, ini menunjukkan banyak kenderaan telah melalui jalan tersebut. Pada masa itu dia telah mengambil keputusan untuk melalui jalan yang terletak di sebelah kanan.

Kini jalan mana pula harus dia ambil? Kiri atau kanan?

Senja di Kem Warisan tetap melambai wajah malam. Malam akan menjelang. Suasana malam akan membawa pelbagai perasaan yang menakutkan. Cikgu Kamis termenung seketika. Dia sedang merenung jauh ke sungai di depannya. Dia sedang mencari jawapan yang sebenar.

SEJAMBAK MAWAR MERAH (2)

SEJAMBAK MAWAR MERAH


Pondok bas di Pekan Rusa sentiasa penuh sesak dengan penumpang. Mereka berebut-rebut menaiki bas ke bandar yang berhampiran. Sudah menjadi kebiasaanku menunggu bas di sana. Pondok bas itu merupakan yang terdekat dengan rumah sewaanku. Setiap pagi selepas bersarapan pagi aku akan turun dari rumah pangsa sewaanku di tingkat tiga menuju ke perhentian bas yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat aku tinggal. Begitu juga apabila aku balik dari kerja. Hendakpun membeli kereta, aku baru bekerja dan parking menjadi masalah kerana bentuk bangunan rumah pangsa sewaanku itu seolah-olah seperti kotak memang tidak ada tempat meletakkan kereta. Parking terhad.

Seorang gadis yang selalu memakai baju merah akan menunggu di pondak bas yang sama setiap pagi. Seolah-olah kami berdua-dua telah berjanji. Setiap pagi kami harus berjumpa. Sebagai seorang baru tinggal dan mengajar di sebuah sekolah di bandar itu, setiap pagi aku akan ke sekolah sebagai satu kemestian. Pada mulanya, kewujudan gadis itu seperti tidak memberi sebarang erti kepada aku. Dia seperti juga penumpang yang lain, sama-sama menunggu bas. Begitu juga aku yang menunggu untuk ke sekolah untuk mengajar murid-murid aku yang ramai itu. Perjumpaan itu berlaku saban hari. Berjumpa kemudian berpisah. Begitu dengan murid-murid aku . Setiap pagi aku mengajar mereka dan selepas 1.30 petang, aku akan berpisah dengan mereka. Esoknya akan berjumpa semula. Begitu juga gadis yang memakai baju merah itu, setiap pagi akan aku lihatnya menaiki bas yang sama dengan aku. Sebagai satu nikmat yang tidak dapat kuceritakan apabila melihat wajahnya yang selicin itu. Sudah aku rasa dia seolah-olah dapat menyukakan hati aku. Mengapa perkara ini terjadi? Aku sendiri tidak tahu. Mungkin aku jatuh hati kepadanya. Mengapa tidak kepada orang lain? Mengapa gadis yang berbaju merah itu sahaja ? Tetapi kami tidak pernah bercakap sepatahpun. Dia aku lihat tidak juga bercakap dengan penumpang-penumpang lain sama ada yang sama-sama menunggu di pondok bas itu atau yang berada dalam bas yang kami sama-sama naiki setiap pagi. Mungkin dia seorang gadis yang tidak suka bercakap. Selalunya dia akan tunjukkan pas bas kepada conductor bas. Itu sahaja. Dunia ini penuh dengan manusia yang pelbagai watak dan tabiat. Mungkin dia ini unik sedikit. Atau kata orang: dia jenis yang lain sedikit.

Perlukah aku menegurnya dahulu? Ini perlu tindakan,kalau hendak berkawan dengan orang lain. Kita harus berani dan berjumpa dan menegur,kalau hendak berkenalan. Ini hanya berpandanganan. Belum berani aku lakukan. Aku lihat dia kelihatan malu-malu tidak wajar aku menegurnya kini,mungkin satu masa yang lain pula.

Pagi itu perasaan aku hendak mengenali gadis itu memuncak. Gadis ini perlu aku kenali dan menegurnya. Desakan hati aku begitu kuat. Bolehkah aku berbicara dengannya. Mahukah dia membalas teguran aku. Aku bimbang, kalau-kalau dia tidak mahu menjawab. Mana hendak aku letakkan muka aku ini? Hidung tidak mancung, pipi tersurung-surung. Ketika itu baru padan muka aku. Hasrat berkenalan memuncak macam gunung berapi hendak meletup. Tetapi, Bila ? Aku masih tidak dapat membuat keputusan yang jitu dan bijak. sebagai seorang guru aku mengamal moral yang tinggi dan malu sekiranya teguranku tidak diawab.

Apa jalan aku hendak berkenalan dengan gadis itu ? Mungkin aku cari Cikgu Mary George untuk membantu. Menjadi orang tengah atau orang perantaraan dalam kemelut aku ini. Hai, zaman Sains dan Teknologi inipun masih ada orang hendak berkenalan perlu menggunakan orang ketiga. Aneh. Ajaib. Malu aku kalau kesah aku ini diceritakan oleh Cikgu Mary George kepada guru-guru lain di sekolah. Kalau murid-murid aku tahu, habis dunia aku. Padahal aku yang selalu menyindir kalau ada murid-murid takut berdiri untuk menjawab soalan yang aku kemukakan kepada mereka. Kalau mereka tahu, tembelang aku pecah. Mereka akan mengumpat aku. Mereka akan kata hendak kenal mata airpun pakai orang ketiga. Dayus. Guru ini. Tidak boleh jadi aku mesti bertekad. Aku perlu beranikan diri aku untuk menegur gadis itu. Esok,Lusa,Minggu depan..bila..

Keputusan itu bermain di kepala aku. Mencari rangsangan kepada otakku supaya membuat keputusan. Bila ? aku akan lakukan ? Kini sudah aku buat keputusan tidak akan gunakan orang ketiga. Tidak perlu Cikgu Mary George sebagai orang ketiga. Aku bimbing dia akan ceritakan kepada orang lain. Bila pula keberanianku akan wujud, bentak hati kecil aku. Bila ? Masih banyak masa lagi. Bagaimana pula minggu depan gadis itu tidak muncul lagi. Aku bukan tahu di mana rumahnya. Alamatnya pun aku tidak tahu. Lazimnya aku lihat ada sebuah kereta yang membawanya sampai ke perhentian bas itu. Dia akan turun dan kereta itu akan pergi. Gadis itu akan menunggu di pondok bas itu sehingga bas sampai. Begitu juga aku. Dia mungkin tinggal di kampung berdekatan, kira-kira satu kilometer dari perhentian bas itu, fikir aku.

Aku telah nekad menegur gadis itu pada hari Isnin minggu depan. Ini merupakan satu keputusan yang bijak setakat ini. Caranya macam mana ? Aku akan membeli sejambak Mawar merah sebagai tanda ikhlas perjumpaan kami. Semua wanita suka akan bunga. Bunga melambangkan keikhlasan aku ingin berkenalan dengannya. Akan aku pastikan penjual bunga membalut sejambak Mawar Merah itu dengan sebaik-baiknya. Akan aku beli bunga itu pada hari Ahad,sebab tidak mungkin pagi Isnin itu aku bersempatan untuk membelinya. Terlalu awal kedaipun belum menjalankan perniagaannya.

Aku sudah nekad, Hari Isnin. Aku akan berkenalan dengan gadis itu. Pagi itu, aku bangun lebih awal. Aku mandi dan mewangikan diri aku dengan bedak dan minyak wangi khas. Pakaianpun aku pilih yang berwarna merah. Merah melambangkan keberanian. Hari tersebut aku perlu keberanian menghadapi cabaran untuk mengenali dan menegur gadis tersebut. Itu satu tugas penting pada pagi tersebut. Pagi lagi aku sudah meninggalkan rumah pangsa sewaan aku. Ini bagi memastikan aku tiba lebih awal daripada gadis tersebut. Suasana di perhentian bas itu masih seperti biasa setiap pagi. Sibuk dengan penumpang yang menunggu bas. Aku masih belum nampak kelibat gadis itu. Mungkin hari ini aku datang lebih awal. Gadis itu masih belum sampai. Tidak apa, Aku harus sabar, tunggu sebentar. Bukankah gadis itu muncul setiap pagi. Aku cuba membelek-belek sejambak Mawar Merah itu. Pastikan bunga itu dalam keadaan baik. Sudah semalaman, bunga itu dikeluarkan dari kedai, keadaannya sudah juga berubah. Tidak sesegar seperti pagi semalam semasa aku membelinya. Layu sedikit tidak bererti keikhlasan untuk berkenalan aku menjadi kurang, Pengenalan dan perjumpaan akan tetap berlaku. Aku sedang mengurutkan bunga itu dan memanjang ke keluar supaya ia kelihatan lebih kemas dan segar. Sekonyong-nyong, aku lihat sebuah kereta melalui perhentian bas itu dengan pantas membuat pusingan “U” tanpa aku sedari badan kereta itu telah menjejaskan sejambak Mawar Merah aku itu. Aku hanya sempat melihat belakang kereta sahaja. Dia telah begitu pantas bergerak pergi. Tanda kesucian pengenalan aku hancur dimamah oleh kereta jahanam. Ini petanda sesuatu yang buruk akan berlaku. Aku cuba membujuk diri aku. Tanpa bunga kita masih boleh berkenalan. Bunga adalah benda tetapi manusia itu berfikiran. Barang perantaraan tidak begitu penting. Aku cuba memujuk diri aku yang begitu sedih tentang peristiwa tersebut berlaku. Bas yang kami tunggu telah tiba. Aku terpaksa menaiki bas tersebut. Gadis yang berbaju merah tidak muncul juga. Mungkin dia terlewat bangun. Mungkin ada hal lain yang memaksa dia tidak muncul seperti biasa pada pagi ini. Aku terpaksa ke sekolah, kalau tidak terlewat tiba di sekolah. Sudah tentu tidak elok di pandang orang,guru sampai ke sekolah lewat. Guru sebagai manusia contoh kepada orang lain. Dia pendidik. Pendidik anak bangsa untuk mengisi wawasan kita. Aku berasa hampa pagi itu. Gadis itu tidak muncul, bunga yang aku beli rosak digesel oleh kereta. Sepanjang pagi sehingga aku balik dari sekolah hati aku tidak tenteram. Serba serbi yang aku buat sepanjang padi itu tidak kena. Ada sahaja kecacatannya.

Sekembali dari sekolah, hati aku masih tidak tenteram. Ini disebabkan peristiwa yang berlaku pagi tadi . Mengapa gadis itu tidak muncul dan kereta jahanam itu merosakkan bunga mawar aku pula ? Petanda tidak baik untuk aku. Mungkin petanda menunjukkan aku tidak akan berjumpa dengan gadis itu lagi. Aku tidak percaya kepada benda-benda tahyul begitu. Itu kepercayaan karut. Sepucuk surat aku terima daripada ibu pada tengah hari itu. Ibu selalu melayangkan surat kepada aku. Dia sedar aku kesunyian tidak ada orang menemani aku. Dia mahu aku tahu perkembangan yang berlaku di Kampung Tok China. Perkampungan orang Tionghoa terbesar di Malaysia. Dalam surat ibu kali ini seperti yang lepas-lepas memberi nasihat dan menyuruh cepat-cepat berumahtangga. Ini bagi menyenangkan diri aku apabila balik dari kerja. Semua kerja rumah disiapkan oleh orang rumah, aku tidak perlu membuatnya. Ibu memang berfikiran kunu, muda-muda lagi dia telah bernikah dengan ayah. Semua kerja rumah dibuat selengkap yang boleh. Dia tidak mahu ayah berasa runsing mencari nafkah di luar dan terpaksa memikirkan masalah di rumah pula. Ibu selalu berpesan: kerja rumah, kerja orang perempuan. Biarlah orang perempuan membuat kerja itu. Tetapi aku sudah tidak berfikiran begitu. Kerja rumahpun boleh dilakukan oleh oranglelaki. Bukankah rumahtangga itu dibina oleh dua orang insan yang telah berjanji untuk sehidup semati. Sama-sama menanggung perit dan lelah dan pancaroba yang melanda rumahtangga itu.

Esok akan aku cuba menegur gadis yang berbaju merah itu. Dia gadis idamanku. Tidak siapa boleh memisahkan aku berdua, bentak jiwa aku, Selepas membaca surat ibu itu, aku merenung jauh. Memang ibu menyokong aku berkenalan dengan seorang kakasih. Ibu memberi pilihan kepada aku. Terpulang kepada aku memilih di atas kebijaksanaan aku. Tidak dihalang kemahuanku. Tetapi masalahku kini ialah bolehkah aku berjumpa dengan gadis itu pagi esok. Aku sudah nekad aku akan berjumpa dengannya esok. Aku yakin dia akan muncul pagi esok. Mungkin dia demam pagi tadi, esok mungkin sembuh. Kesihatan wanita memang begitu: ada masa tertentu akan kurang sihat, ada masa kesihatan mereka memang baik. Mungkin pagi ini dia mengalami keadaan yang keadaan yang sama, kurang sihat untuk pergi bekerja.

Esoknya, pagi lagi aku telah bangun. Bersiap-siap dan terus bersarapan pagi untuk pergi ke perhentian bas. Pagi ini, aku tidak membawa sebarang bunga. Tidak juga bunga Mawar macam semalam. Bunga tidak semesti melambang keikhlasan. Tindakan yang jujur mungkin lebih baik. Ia seolah-olah memujuk diri aku,tidak membawa sebarang hadiah; tidak juga menghalang aku berkenalan dengan gadis itu. Gadis itu kalau dia ikhlas hati sudah tentu dia sudi menerima teguran aku. Kecualilah gadis itu mempunyai kekasih lain. Tetapi aku yakin gadis itu hendak berkenalan denganku,sebab buat beberapa kali yang lepas aku lihat gadis tersebut senyum kepada aku. Ini menunjukkan gadis itu ada menaruh minat kepada aku. Mungkin masa sahaja yang masih belum sesuai atau matang. Pagi ini sudah tentu, keadaannya berlainan. Gadis itu pasti muncul. Mata aku liar memandang sekeliling. Melihat kalau-kalau kereta yang selalu membawa gadis itu muncul. Selepas 10 minit aku menunggu di perhentian bas itu,sekonyong-nyong sebuah kereta berhenti tidak jauh dari pondok perhentian bas. Aku memerhatikan sahaja. Dari dalam perut kereta keluar gadis yang berbaju merah itu. Dia tersenyum apabila melihataku. Satu petanda baik. Pagi ini memang paling sesuai aku menegur dan berkenalan. Aku telah melihat dia berdiri agak jauh sedikit dari orang ramai yang sama-sama menunggu bas. Aku pun langkah demi selangkah menghampirinya. Aku bertambah yakin lagi, apabila dia tersebyum apabila aku menghampirinya. Kemudian aku benar-benar berhadapan dengannya. Aku pun menghulurkan tangan untuk berjabat tangan.

“Selamat Pagi. Selamat Berkenalan.” Kata aku secara sepontan.

Dia tidak menjawab. Hanya tersenyum.

“Apa Khbar ?” Tanya aku lagi.

Dia juga tidak menjawab hanya tersenyum serta mencengkam tangan aku dengan lebih kuat lagi.

Aku sedar bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada diri gadis tersebut. Dia tidak membalas salam aku. Dia hanya mengangguk-angguk kepala sambil tersenyum. Bas yang kami tunggu setiap pagi tiba. Kamipun sama-sama menaikinya. Kamipun hilang dalam perut bas.

Kampung Halaman (1)


KAMPUNG HALAMAN



Perasaan meradang Hock Kim memuncak. Bintang jalang itu hendak dilumatkan. Benci betul dia kepada binatang itu. Peristiwa pagi itu menyebabkan dia benci akan binatang itu. Nyaris dia tidak dapat balik ke kampung halaman untuk berhariraya sebab pada masa yang genting itu binatng jalang tersebut muncul dengan tiba-tiba.

Tiupan bayu memukul-mukul dinding teksi. Dengan pentas, pemandangan kiri kanan jalan melewati Hock Kim dan keluarga. Lebuhraya yang melurus dengan dipagari kebun kelapa sawit dan kebun getah yang menghijau. Seolah-olah sesuatu kenyamanan menggigit jantung rasanya. Keindahan watan tercinta membuahkan perasaan yang sukar dimengertikan. Dia melihat anak-anaknya bergurau-gurauan di antara satu dengan yang lain. Budak-budak begitulah, fikir Hock Kim. Sesekali kedengaran isterinya memarahi anak-anaknya. Kemudian gurauan anak-anaknya terhenti buat seketika. Teksi terus menuju ke Selatan. Saudara mara di kampung halaman sedang menunggu ketibaan mereka. Perasaannya terganggu seketika apabila terdengar seolah-olah Ahmad Merdeka bercakap dengannya.

“Hock Kim, awak harus berasa bertuah kerana masih ada orang tua di kampung. Kedua-dua pihak ibubapa saya sudah meninggal. Abang dan kakak-kakak sayapun tinggal di luar negeri.”

“Apabila menjelang Syawal, timbul perasaan sayu. Bagi anak-anak kami, mereka sudah tidak berkampung lagi. Kampung bagi mereka merupakan satu tempat yang asing. Anak kamu mungkin ada sepupu. Anak kami tidak ada. Mereka hanya mengenali suasana kampung apabila kami melawat ke tempat penganginan di pedalaman. Dalam diri mereka sudah tidak kenal kampung halaman lagi.”

“ Saya sendiri ada kampung tetapi tidak ada saudara mara untuk dikunjungi. Kau lainlah, semuanya ada, ibubapa masih hidup;segar bugar pula. Tetapi kau masih enggan melawat mereka.”

Ahmad Merdeka sudah menganggap Hock Kim sebagai salah seorang saudara maranya. Mereka tinggal lama dalam satu kawasan perumahan yang sama serta tinggal sebelah menyelah pula. Mereka kedua-duapun berasal dari kampung. Mereka sama-sama pernah menikmati suasana kampung.

“Mengapa isteri awak tidak suka balik ke kampung?”
“Bukankah kampung itu tempat lahir? Tempat kita bermain dan tempat kita dilahirkan.”
“Apa salahnya kampung itu?” Ahmad Merdeka memberi penekanan kepada soalan tersebut
“Isteri saya menganggap balik kampung itu membebankan dan tidak berfaedah.” Jawab Hock Kim.
“Itukah sahaja sebabnya !”
“Begitulah.” Jawab Hock Kim selamba sahaja.
“Mengapa kampung asal tidak begitu dipentingkan? Bukankah kampung itu akar umbi kita !”
“Orang kita selalu lupakan kampung halaman. Tidak begitu orang Jepun. Mereka pentingkan tradisi dan kampung halaman. Kampung halaman menjadi tunjung mereka. Tradisi dan modern diadun bersama untuk kejayaan dan kemajuan.”
” Macam saya ini hendak kenangkan kampung halamananpun tidak boleh sebab sudah tiada kampung halaman lagi untuk dikenang. Tetapi sayangnya, insan lain yang mempunyai kampung halaman yang tercinta, tidak mahu langsung menjenguk dan melihat keindahan dan kemesraan kampung halaman.”
” Aneh juga dunia ini, kalau dikenangkan. Kita selalu lupa kepada asal usul kita. Padahal asal usul kita itu begitu penting dipelihara dan dipupuk.” Ahmad Merdeka cuba meluahkan perasaannya.

Kata-kata ayah tiba-tiba menjelma di ingatannya.
“Hock Kim itu memang susah membawa isteri balik ke kampung sebab Hock Kim tidak mahu mereka bergaul mesra dengan kita.” rungutan ayahnya.

“Setiap kali ayah suruh kamu sekelian balik kampung, ada sahaja sebab yang kamu berikan. Sebab ini. Sebab itu. Ada sahaja sebab tidak boleh balik. Banyak lagi helah yang kamu berikan.” Bentak ayah Hock.

Ibu Hock Kim berlainan sedikit. Dia tidak kisah sama ada Hock Kim sekeluarga balik kampung atau tidak. Asal ada hantar duit memadahi. Dia memberi kebebasan kepada Hock Kim membuat apa yang disukainya. Hock Kim sudah besar panjang, sudah sepatutnya tahu buruk baiknya.

Hock Kim masih teringat semasa dia kecil-kecil lagi dia telah diberi gelaran babi bukit. Kata tukang telek yang mengira hari kelahirannya, perwatakan manusia yang berbintangkan babi bukit suka berhijrah. Sejak meninggalkan kampung, Hock Kim sudah beberapa kali menukar tempat tinggal. Hock Kim sepatutnya mencari rezeki di luar dari kampung. Sifat ini yang membuat dia berjauhan dari kampung halaman.

Sekonyong-konyong peristiwa pagi tadi kembali menjelma. Isterinya marah-marah apabila mengetahui bahawa bintang jalang telah memasuki bilik jahitnya. Bilik tersebut ada kain dan baju pelanggan yang baru siap dijahit dan yang belum dijahit.

“Bagaimana hendak kita balik kampung, kalau tikus sial itu berada di dalam bilik jahit saya. Habislah saya. Tikus itu akan mengoyak-goyakkan kain baju pelanggan saya. Bagaimana hendak saya ganti kain baju sebanyak itu? Selepas seminggu kita berada di kampung, baju pelanggan saya semuanya jahanam. Semuanya akan koyak. Kita harus bunuh binatang jalang itu. Kalau tidak, kita sekeluarga tidak akan balik kampung. Kau faham, cakap saya ini.” Bentak isteri Hock Kim dengan nada keras memanjang.

Hock Kim berfikir sesuatu tindakan terpaksa dibuat, sama ada membatalkan cadangan balik ke kampung atau meneruskan cadangan yang telah dirancang selama dua bulan yang lalu. Hock Kim teringat, pagi itu pintu belakang rumahnya telah awal-awal lagi dikunci oleh isterinya. Untuk memastikan rumah dikunci dengan lebih selamat, sekali lagi Hock Kim membuka semula pintu belakang rumah, sekonyong-konyong tanpa disedari seekor tikus terus memasuki ke dalam rumah lalu menuju ke bilik jahit isterinya.

Teksi yang membawa Hock Kim sekeluarga telah sampai ke pekan yang hendak dituju. Tetapi hanya tinggal beberap kilometer sahaja akan tiba ke rumah ayahnya. Hock Kim tersedar dari lamunannya. Selepas dua puluh minit, teksi yang membawa Hock Kim sekeluarga tiba di rumah ayahnya. Hock Kim sekeluarga disambut dengan meriah.

Kemarahan isteri Hock Kim masih membara. Peristiwa pagi itu menyentuh perasaannya. Ayah Hock Kim dapat menghidu kecekalaan itu sejak Hock Kim sekeluarga tiba. Daripada Hock Kim, ayahnya dapat tahu kesah tersebut.

“Kamu semua hanya mementingkan wang ringgit sahaja. Bukankah ada barang yang lebih bernilai seperti kasih sayang, kampung halaman, hariraya yang kita sambut setahun sekali. Itu yang harus kita muliakan. Tidak bolehkah kita ketepikan sejenak tanpa mengambil kira kerugian semata-mata?”

“Biarlah ayah bayar segala ganti ruginya sekiranya tikus itu membawa angkara. Ayah baru menerima wang pampasan tanah arwah datuk kamu yang dibayar oleh pihak Kerajaan.”

Isteri Hock Kim mengorak senyum. Tahun ini membawa tuah. Mertuanya akan menghadiahkan sesuatu kepada keluarganya. Dalam congakannya, separuh daripada wang pampasan tanah yang dibayar oleh pihak berkuasa akan diperolehi oleh suaminya, selaku anak sulung. Hock Kim akan mendapat seratus ribu ringgit. Tahun depan mereka akan menaiki kereta sendiri balik kampung. Kampung halaman membawa tuah kepada mereka sekeluarga.