Isnin, 16 Julai 2007

Erti `Jamuan Berkumpul' Tionghua

Esok semua orang Tionghua di seluruh dunia menyambut Tahun Baru Cina. Ini merupakan salah satu upacara perayaan yang terbesar dan terpenting yang dirayakan oleh orang Tionghua dalam sesuatu tahun.
Tahun ini tahun monyet. Dengan perkembangan politik tanah air yang merangsangkan serta ditambah dengan pelantikan seorang Menteri Kewangan Kedua yang memang profesional dalam bidangnya, dan dengan rombakan kecil beberapa ahli Kabinet, dijangka pertumbuhan ekonomi negara pada tahun monyet ini akan bertambah baik serta memberangsangkan.
Seperti juga dengan kaum-kaum lain di negara ini, apabila menjelang tahun baru dalam agama mereka, maka kita akan melihat bahawa banyak kaum Tionghua akan balik ke kampung halaman.
Sekiranya kaum lain semasa merayakan perayaan mereka tidak ada upacara makan bersama anggota keluarga atau yang dikenali sebagai `Tuang Nien Fan', bagi kaum Tionghua pula upacara ini dianggap amat penting.
Penglibatan semua ahli keluarga dalam jamuan itu amat penting. Ia merupakan satu upacara unik dalam merayakan Tahun Baru Cina.
Oleh sebab itu, kita dapati walaupun berapa jauh seorang anak atau anggota keluarga kaum Tionghua itu berada, mereka akan cuba sedaya upaya untuk kembali ke rumah ibu bapa, sehari sebelum menjelang Tahun Baru Cina untuk menikmati makanan `Jamuan Berkumpul'.
Sifat `kekitaan' akan dapat dipupuk melalui upacara tersebut. Sekurang-kurangnya setahun sekali semua anggota keluarga dapat berjumpa serta berkumpul dan makan bersama-sama.
Kini, disebabkan setiap anggota masyarakat tidak terkecuali juga kaum Tionghua, mereka sentiasa sibuk menjalankan pekerjaan dan tugas masing-masing.
Oleh sebab itu, peluang untuk berjumpa, berkumpul di satu tempat untuk makan bersama-sama di kalangan keluarga terutama yang tidak tinggal setempat didapati semakin kurang dan mendesak.
Jamuan Berkumpul pada Tahun Baru Cina akan merupakan satu peluang yang amat baik dan berkesan untuk setiap daripada ahli keluarga beristirahat dan bertegur sapa pada hari perayaan ini.
Pada hari ini, semua anggota keluarga kaum Tionghua akan bersatu dan bersama-sama berada di satu meja untuk menikmati juadah Tahun Baru Cina.
Oleh itu, Jamuan Berkumpul dapat dijadikan satu medium untuk sama-sama berkongsi serta menjalin hubungan di antara ahli keluarga masing-masing.
Daripada berkumpul di kalangan ahli keluarga, konsep sambutan Hari Raya di Malaysia telah juga diperluaskan kepada rumah terbuka untuk semua rakyat tanpa mengira agama, kebudayaan dan kaum.
Setiap kali sesuatu kaum itu mengadakan sambutan perayaan, kaum-kaum lain juga turut sama merayakannya iaitu dengan berkunjung ke rumah mereka yang mengadakan rumah terbuka.
Di peringkat politik pula, memang terdapat parti politik menganjurkan rumah terbuka dengan menjemput ahli parti serta orang ramai untuk meraikan Tahun Baru Cina.
Ini juga merupakan satu cara untuk menjalin hubungan di kalangan semua kaum.

Tiada ulasan: