PESTA `Yuan Siau' atau lebih dikenali di Malaysia sebagai Capgome atau `Malam ke-15' pada Tahun Monyet kali ini berlangsung pada hari ini dan merupakan malam terakhir sambutan Tahun Baru Cina.
Pesta Yuan Siau atau Pesta Tanglung, pada dulu kala disambut dengan meriah. Kaum Tionghua akan memasang lampu-lampu tanglung di halaman rumah mereka.
Pada zaman dahulu juga kebanyakan orang Tionghua memakan sejenis manisan yang dikenali sebagai Yuan Siau, yang juga disebut `Tong Yun' pada malam Capgome.
Masyarakat Tionghua akan berkumpul untuk memakan manisan Tong Yun serta lauk-pauk yang lain. Oleh itu, malam Capgome juga dikenali sebagai meraikan pesta Yuan Siau.
Ramuan manisan ini diperbuat daripada pulut sebagai tepungnya sementara intinya ialah campuran bijan dan kacang serta manisan ini dimakan bersama-sama dengan air gula. Memandangkan manisan Yuan Siau ialah berbentuk bulat maka secara tidak langsung ia mewujudkan perasaan kekitaan dan perpaduan di kalangan ahli keluarga kaum Tionghua pada malam itu.
Pada malam Capgome juga ahli keluarga yang tua akan ke tokong untuk mendoakan kebahagiaan, tuah dan sebagainya bagi ahli keluarganya.
Pada zaman dulu kaum pemudi Tionghua tidak bebas bergaul dengan kaum pemuda jika dibanding dengan zaman sekarang. Oleh hal demikian pada malam Capgome barulah pemudi Tionghua berpeluang untuk mencari pasangan sejati mereka. Oleh itu, pesta Capgome turut dianggap sebagai Hari Kekasih untuk orang Tionghua.
Pada hari ini banyak amalan tersebut masih dipraktikkan oleh pemudi Tionghua di Malaysia, tetapi jumlahnya tidak besar. Pada malam terakhir sambutan Tahun Baru Cina ini masih terdapat pemudi Tionghua, terutama yang tinggal berdekatan dengan laut masih mempraktikkan amalan membaling buah-buah limau untuk mendapatkan kekasih atau suami. Mereka akan menulis nama dan nombor telefon di kulit-kulit buah limau tersebut. Ini memudahkan para jejaka yang mendapat buah limau tersebut untuk menelefon wanita berkenaan.
Memang pada sambutan malam Capgome, kaum Tionghua masih mengadakan jamuan berkumpul untuk menikmati manisan Tong Yun, makan bersama-sama, serta melakukan sembahyang bagi mendoakan kebahagiaan untuk ahli keluarga. Di samping itu terdapat sebilangan kecil sahaja pemudi Tionghua kini yang masih melakukan amalan membaling buah limau ke laut untuk mendapatkan kekasih.
Isnin, 16 Julai 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan