IKATAN KASIH MAMA
Kereta itu mempunyai sejarah manis. Begitu penting kereta itu untuk mereka sekeluarga. Warisan yang penting dikekalkan. Sudah bertahun-tahun kereta itu berjasa kepada anggota keluarganya. Oh! Kini ia sudah uzur. Semua orang akan tua dan kereta begitu juga. Uzur tidak bererti ia boleh diketepikan sepatutnya disayangi dan dikasihi.
Jelas terbayang sebelum isterinya menghembus nafas terakhir, dia telah berpesan jangan jual kereta itu. Kereta tersebut mempunyai nilai sejarah dan nilai kasih sayang mendalam dalam perjalanan hidup keluarga Mak. Kereta yang berwarna merah itu telah memberi semangat motivasi kepada mereka untuk menghadapi hari-hari muka yang mendatang. Penduduk di taman perumahan sekeliling rumahnya mendapati kereta itu telah terlalu tua untuk dipelihara dan digunakan. Ia perlu dijual.
Mak Yi merenungi keretanya yang tersadai di depan rumah. Perasaannya naik muak. Perasaan jemu tiba-tiba timbul. Jiran-jiran sebelah menyebelah turut mendesak. Beberapa kali mereka mendesak supaya Mak Yi menjual keretanya. Mak Yi mampu membeli kereta baru tetapi mengapa perlu menunggu?
Suara isterinya terngiang-ngiang di telinganya, mendesak jangan jual. Kereta itu masih elok digunakan untuk ke pejabat. Mak Yi teringat, pada Sambutan Tetamu Agong Negeri Matahari Ke Malaysia tempoh hari, kereta itu juga yang membawanya ke hulu dan ke hilir. Dan tidak pernah kereta itu meragam dan sentiasa memberi perkhidmatan yang baik. Mak Yi sahaja yang mengada-adakan cerita tentang keburukan kereta itu. Arwah isterinya menganggap kereta itu sebagai seorang suami yang telah berjasa begitu lama. Berpuluh-puluh tahun, kereta itu telah berkhidmat kepada keluarganya. Kini Mak Yi merungut di hadapan semua orang termasuk bosnya kelemahan kereta itu. Kononnya kereta itu banyak meragam sebab itu Mak Yi tidak dapat menyelesaikan banyak masalahnya di pejabat. Itu hujah Mak Yi semata-mata. Pada hakikatnya hujah itu tidak benar. Bohong semata-mata.
Mak Yi sengaja membawa cerita yang karut bagi menutup kelemahannya dengan melemparkan kesalahan itu kepada kereta. Kereta itu apalah? Ia tidak tahu apa-apa. Ia akan bergerak sekiranya dibubuh minyak. Ia akan bergerak, kalau enjinnya dijaga. Ya, ketika Tan Mooi masih hidup, arwah sentiasa memberi pujian kepada kereta itu. Kereta itu comel dan molek, kata arwah. Kekuatan pecutannya merangsangkan. Tetapi kini Mak Yi ada sahaja dalih dan helah untuk menjualnya.
Seorang lelaki memang cenderung kepada yang baru. Begitu juga seorang suami mengganggap isterinya yang telah tua sebagai nyanyuk. Untuk kereta pula dikatakan selalu membuat ragam. Kehendak alam, bila sudah tua, semua penyakit itu timbul, walaupun diberi jagaan yang rapi dan teratur. Tetapi apabila melewati had jangka hidupnya, masalah tetap ada. Tahun lepas, kereta Mak Yi masih dapat berjalan jauh. Mak Yi dapat menghadiri majlis perkahwinan anak bapa saudaranya. Ia tidak mati di tengah jalan dan masih bertenaga membawa keluarganya. “Air condition” keretanya masih baik. Selesa. Mengapa hendak dijual ?
“Kini persatuan tidak menjual polisi insurans untuk ahli-ahli lagi. Encik diminta membeli polisi insurans terus dari Syarikat Insurans Senja. Saya bagi pihak persatuan ingin memohon maaf tidak dapat membantu ahli membeli polisi insurans. Encik bolehlah ke Syarikat Insurans Senja membeli polisi insurans walaupun kereta encik telah melebihi 10 tahun.” Kata kerani Persatuan Automobil itu, pada satu pagi itu semasa Mak Yi pergi ke pejabat Persatuan Automobil itu.
“Tahun lepas bukankah persatuan masih menjual polisi insurans untuk kereta saya, mengapa tahun ini tidak boleh ? Bukankah persatuan mewakili dan melindungi ahli-ahlinya? Dan menjaga kebajikan kami. Kami membayar yuran untuk mendapat perkhidmatatan. Kini perkhidmatan itu telah ditarik balik. Tidak bergunalah kami menjadi ahli lagi?” Mak Yi melepaskan geramnya dengan nada yang tinggi seolah-olah meluahkan perasaan marahnya.
“Kami bukan tidak mahu menolong ahli membeli polisi insurans. Ini bukan dasar kami. Ini tidak bererti dasar kami telah berubah. Kami sentiasa menjaga kepentingan ahli-ahli kami termasuk encik. Tapi…”
“Tapi… Apa?” Bentak Mak Yi dengan perasaan marah untuk meminta jawapan segera.
“Encik harus sedar. Kami Persatuan Automobil bukan syarikat penjualan polisi insurans. Kami hanya menjadi wakil sahaja. Apabila pihak syarikat insurans memaklumkan mereka tidak lagi menjual polisi insurans untuk kereta yang melebihi 10 tahun, kami tidak boleh membantah. Itu hak mereka. Jadi kami terpaksa memberitahu ahli-ahli. Jika Encik tidak puashati, bolehlah rujuk perkara ini kepada Pengerusi persatuan. Atau merujuk hal ini kepada Bank Negera bahagian Insurans.”
“Kalau begitu, apa nasihat puan kepeda saya. Saya keliru.”Jawab Mak Yi dengan perasaan bimbang.
“Saya menasihatkan encik pergi ke pejabat Syarikat Insurans Senja. Beli terus. Kami pun membeli polisi insurans bagi pihak ahli-ahli dari syarikat tersebut. Encik boleh membuat pembelian polisi insurans terus daripada mereka.” Gadis itu menasihati Mak Yi buat begitu.
Mak Yi meninggalkan persatuan automobil itu terus menuju ke pejabat Syarikat Insurans Senja yang terletak tidak jauh dari pejabat persatuan. Pejabat insurans bertempat di tingkat empat sebuah bangunan di situ. Mak Yi berkejar ke sana. Dibawa bersama buku pendaftaran kereta, “covernote” tahun lepas yang dikeluarkan oleh syarikat polisi insurans itu. Kali ini sudah tentu dia akan menghadapi masalah. Dia bimbang kerana keretanya telah berusia melebihi 16 tahun. Kali ini pembeliannya sudah tentu ditolak. Jika penolakan berlaku, di mana hendak dicari syarikat polisi insurans yang lain. Dia sangat kuatir.Kalalu dia terbeli polisi insurans yang palsu. Pernah dia diberitahu, ada orang yang terdesak berbuat begitu. Membeli polisi insurans yang palsu. Mak Yi tidak akan membeli polisi insurans jenis itu. Dia lebih mementingkan kebajikan mangsa kemalangan. Kalau dia membeli polisi palsu sekira berlaku kemalangan sudah tentu dia mendapat susah.
Anak tangga simen itu dipanjat setapak demi setapak dan kakinya didapati berat untuk diangkat. Hatinya cukup marah sebab lif bangunan rosak. Malang. Masih banyak anak tangga lagi perlu dilangkahi baru untuk sampai ke pejabat insurans. Selepas 10 minit Mak Yik ternampak nama syarikat itu: SYARIKAT INSURANS SENJA. Sudah berlanggan bertahun-tahun, tidak pernah Mak Yi ke situ. Lazimnya Mak Yi membeli polisi insurans melalui Persatuan Automobil. Mereka yang membeli untuknya. Hari ini berlainan, Mak Yi sendiri membeli polisi insurans terus dari syarikat itu sendiri.
Mak Yi menguak daun pintu. Terbuka. Dia masuk ke dalam pejabat yang amat indah itu. Seorang gadis melebarkan senyuman apabila melihat Mak Yi muncul di depan kaunternya.
“Selamat pagi encik. Boleh saya tolong.” Kata gadis itu dengan nada manja.
“Saya hendak membeli polisi insurans kereta saya.” Jawab Mak Yi pendek.
Mak Yi menyerahkan buku pendaftaran kereta, “covernote” tahun lepas kepada gadis itu. Dia menyemak butiran kereta.
“Saya ini ahli Persatuan Automobil. Dahulu mereka membeli polisi insurans untuk saya. Tahun ini mereka suruh saya membeli terus dari syarikat.” terpacul keluar dari mulut Mak Yi memasa gadis itu sibuk membelek-belek dokumen-dokumen penting keretanya.
“Kereta encik ini telah melebihi 10 tahun,syarikat kami tidak boleh menjual insuran polisi untuk kereta yang berusia melebihi 10 tahun. Perkara ini telahpun kami maklumkan kepada pihak Persatuan Autombobil, bulan lepas. Mereka tidak hebahkan kepada ahli-ahlikah?” Gadis itu mengerutkan muka untuk mendapat jawapan daripada Mak Yi.
“Mereka tidakpun buat begitu. Sebaliknya saya baru keluar dari pejabat Persatuan Automobil. Mereka yang suruh saya datang ke mari. Mereka kata, walaupun kereta saya melebihi 10 tahun, pembelian polisi insurans masih boleh dibuat di sini.” Mak Yi cuba meyakinkan gadis itu.
“Dasar kami jelas, encik. Kami tidak dapat menjual polisi insurans kepada kereta yang melebihi melebihi 10 tahun.” Jelas gadis itu sebagai memberi keterangan kepada Mak Yi.
“Saya hendak berjumpa pengurus kamu !” Mak Yi meluahkan tujuannya dengan nada tinggi.
Gadis itu menurut kata. Diapun beredar ke dalam. Seketika kemudian muncul seorang lelaki pertengahan umur berjalan menuju ke tempat Mak Yi berada.
“Selamat pagi encik. Apakah yang boleh saya bantu?” Katanya dengan nada yang sopan.
“Sudah bertahun-tahun saya membeli polisi insurans dari syarikat tuan melalui Persatuan Automboil, tahun ini tidak boleh pula.” Jelas Mak Yi.
”Pihak persatuan kata saya masih boleh membaharui polisi insurans dari syarikat tuan.”
“ Mungkin ada sedikit salah faham di sini. Mungkin pihak pengurusan persatuan lewat memberitahu ahli.” Pengurus itu menambah.
“Tidak bolehkah tuan tolong saya buat kali ini.” Merayu Mak Yi.
“Tidak apalah , saya benarkan encik membeli untuk tahun ini sahaja. Secara ikhlas, saya hendak memberitahu encik, tahun hadapan permohonan encik tidak akan dilayan lagi. Encik fahamkah!” Pengurus itu menunjukkan simpati dan memberi amaran kepada Mak Yi yang kelihatan kebingungan.
Fikirannya tidak tenteram apabila melihat kereta yang tersadai di hadapan halaman rumah. Jual atau tidak jual, menjadi asas konflik di dalam jiwanya kini.
“Tahun hadapan tidak boleh lagi. Faham!!!” Kata-kata pengurus Syarikat Insurans itu masih terngiang-ngiang di telinganya.
“Tahun hadapan, tak boleh!!!”
“Jangan jual ya, bang.” Terngiang-ngiang di telinga pendengaran Mak Yi pula; kata-kata dua orang yang berlainan kepentingan itu.
Mak Yi masih ingat lagi, mengapa kereta itu dibeli. Selama lima tahun arwah isterinya bertungkus lumus berniaga baju untuk mendapatkan wang sebanyak puluhan ribu ringgit untuk membeli kereta itu. Dia telah berjanji kepada Mak Yi bahawa mereka akan hanya mendirikan rumah tangga sebaik sahaja berupaya mengumpul wang untuk perkahwinan serta mempunyai cukup wang untuk membeli sebuah kereta baru yang sederhana besarnya. Apabila duit sebanyak itu telah dapat dikumpul, merekapun melangsungkan perkahwinan. Kereta itu telah mengukir sejarah tinta emas dan ikatan kasih teguh mereka berdua.
“Saya nampak ayah termenung sejak pagi. Jauh memikirkan sesuatu. Masalah apa begitu serius difikirkan ? “ Tegur Alice Mak, anak tunggulnya.
“Ayah sedang fikir sama ada hendak menjual atau tidak kereta itu ? “ Jawab Mak Yi selamba sahaja.
“Ayah, jual sahaja kereta itu.” Desak anaknya itu.
“ Jangan terlalu memikirkannya. Walaupun ia merupakan tali ikatan kasih ayah dan mama. Kereta ada had usia kegunaannya. Ada kala kita terpaksa juga berpisah dengan barang yang kita suka atau orang yang kita kasih. Macam mama, dia pergi jua, walaupun dia sayang akan ayah dan saya. Kita yang hidup ini, masih perlu menyambungkan sisa-sisa hidup yang ada. Ayah tidak boleh memakai kereta itu selama-lamanya. Ini kehendak alam, ayah. Yang tua harus beri laluan kepada yang muda. Tidak ada benda yang abadi selama-lamanya.” Nasihat Alice Mak kepada ayahnya.
“Biarlah ayah, fikirkannya dahulu. Mungkin ayah akan ke kubur mama pada musim Cheng Beng ini, yang akan berlaku tidak lama lagi. Akan ayah pohon restu daripada mama. Ini hartanya. Hasil keringatanya. Itu haknya, walaupun dia tidak ada lagi.” Kata Mak Yi dengan merenung tajam ke arah kereta berwarna merah yang tersadai di hadapan halaman rumahnya.
Khamis, 14 Jun 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan