Khamis, 14 Jun 2007

MENGATASI MASALAH KESESAKAN TRAFIK DI KUALA LUMPUR

CADANGAN-CADANGAN MENGENAI PENAMBAHBAIKAN TRAFIK/LALU LINTAS DI KAWASAN BANDARAYA KUALA LUMPUR


Bil : 1



Perkara : Bas


Masalah :


Terdapat bas berhenti atas sebab (untuk mencari penumpang, menunggu penumpang bagi trip berikutnya) begitu lama di sesuatu lokasi sehingga menimbulkan kesesakan. (Contohnya, depan Pudu Raya, depan Kota Raya, Jalan Silang, depan Pasar Seni dan banyak lagi.) Ini banyak menimbulkan kesesakan.


Untuk mengatasinya, dicadangkan:


Bas yang berulang alik di ibu kota tidak sebuah pun dibenarkan berhenti atas sebab (mencari penumpang atau menunggu penumpang bagi trip berikutnya) begitu lama di sesuatu lokasi kecuali berhenti untuk memberi peluang kepada penumpang naik dan turun dari bas sahaja. Pihak penguatkuasa harus bertindak dengan tegas dalam perkara ini.


Bil : 2


Perkara : Teksi


Masalah :


Teksi menunggu penumpang di depan pusat membeli-belah yang berbaris terlalu panjang sehingga menghalang lalu lintas.


Untuk mengatasinya, dicadangkan :


DBKL harus menyediakan petak khas yang munasabah jumlahnya di depan pusat-pusat membeli-belah. Teksi tidak boleh menunggu penumpang di luar dari petak-petak tersebut. Jika teksi menunggu penumpang luar dari kotak khas, tindakan tegas perlu diambil.

Bil : 3


Perkara : Kenderaan biasa


Masalah :


Kini terdapat terlalu banyak pengguna meletak atau memberhentikan kenderaan mereka sesuka hati, terutama di atas jalan yang bergaris kuning atau ada masanya di bahu-bahu jalan serta di lorong – lorong yang sempit.

Untuk mengatasinya dicadangkan :


Pengguna harus meletakkan kenderaan mereka di ‘parking’ yang khusus atau di atas petak ‘parking’ untuk kenderaan sahaja. Bagi mereka yang ingkar, kenderaan mereka patut dikenakan hukuman atau disita oleh pihak yang berkuasa.


Bil : 4


Perkara : Lori, van dan kenderaan lain memuat dan menurunkan barang


Masalah :


Kenderaan-kenderaan jenis ini memuat dan menurunkan barang dengan sesuka hati mereka di ibu kota. Ini telah menyebabkan kesesakan.


Untuk mengatasinya, dicadangkan :


(a) Pemilik kedai hanya boleh menerima barang atau memuatkan barang mereka ke dalam lori/van/kenderaan lain yang berkenaan hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja bukan masa-masa puncak. Mereka mungkin boleh memuat atau menurunkan barang mereka pada waktu awal pagi atau malam hari.

ATAU

(b) Mungkin tidak dibenarkan langsung kenderaan-kenderaan tersebut memasuki kawasan di mana jalan-jalan itu terlalu sempit atau sesak. Pembeli hanya boleh membuat tempahan di kedai-kedai di kawasan tersebut tetapi barang yang ditempah itu, hanya boleh diambil di kilang atau di stor yang terletak sedikit jauh dari ibu kota. (Contohnya kalau kita membeli seramik di Jalan Ipoh, Kuala Kumpur, kita hanya mengambil seramik yang kita tempah itu di Selayang atau tempat yang lebih jauh dari kawasan tersebut)

Bil : 5


Perkara : Berniaga di tepi jalan


Masalah :


Peniaga meletakkan kerusi dan meja di tepi jalan atau di atas jalan (lalu-lalang) dengan sesuka hatinya. Ini menghalang lalu lintas.

Untuk mengatasinya, dicadangkan :


Para peniaga tidak boleh langsung menyusun atau meletakkan kerusi meja mereka di tepi jalan atau di atas jalan (lalu-lalang). Pihak penguatkuasa harus bertindak tegas merampas semua alatan perniagaan mereka itu.


Bil : 6


Perkara : Pusat Hentian Bas: Bahagian Selatan, Utara, Timur dan Barat


Masalah :


Kini semua bas luar dari KL harus bertolak dari tempat bermulanya dan berakhir destinasi mereka di Perhentian-perhentian Bas di Kuala Lumpur. Ini menyebabkan kesesakan.


Untuk mengatasinya, dicadangkan :


Wujudkan Pusat Hentian Bas: Bahagian Selatan, Utara, Timur, dan Barat. (Contohnya, bas dari Kajang atau Melaka, Pusat Hentian basnya,bolehlah ditempatkan di Cheras untuk Bahagian Selatan.


Untuk Bahagian Utara ialah di Stadium Hoki, Jalan Duta; di Bahagian Timur mungkin lebih sesuai di Pusat Hentian basnya diletakkan di Melawati Kuala Lumpur, atau satu tempat yang lebih sesuai.


Bas-bas tersebut tidak wajar masuk ke ibu kota kerana ini akan menimbulkan kesesakan. Sementara itu, bas-bas dari Kelang mungkin pusat hentian bas ialah di daerah Petaling Jaya atau Jalan Kelang Lama.


Kita mewujudkan Pusat-pusat Hentian bas ini dengan tujuan supaya tiada bas berhenti terlalu lama di sesuatu lokasi dan bas perlu sentiasa bergerak bukan static di dalam Bandar Kuala Lumpur. Akhirnya kita hendak melihat bahawa di Bandar Kuala Lumpur ini tidak ada stesyen bas yang kekal KECUALI hanya ada ‘bas stop’ sahaja.Penumpang hanya membeli tiket semasa berada di bas, atau di kedai khas atau di Pusat Hentian Bas.(yang dicadangkan)



Bil : 7


Perkara : pengorek jalan dan menurap jalan


Masalah :


Sudah menjadi lumrah jalan-jalan di Kuala Lumpur ini dikorek dan diturap tetapi selepas diturap didapati selalunya muka jalannya tidak rata dan tidak licin seperti sedia kala.


Untuk mengatasinya, dicadangkan :


Setiap syarikat yang bertanggungjawab(sebagai contoh:PUAS,TNB,TELEKOM dan sebagainya) yang mengorek jalan diwajibkan menyimpan satu jumlah wang deposit yang munasabah pada DBKL. Sekiranya syarikat itu gagal menyempurnakan kerja-kerja penurapan jalan, wang deposit itu boleh dirampas atau dibatalkan.


Bil : 8


Perkara : Bas pelancong


Masalah :


Bas pelancong selepas menurunkan penumpang dan menunggu pelanggan-pelanggannya di depan tempat-tempat pelancongan dan hotel-hotel di Kuala Lumpur dengan sesuka hati mereka. (Contohnya, di depan KLCC, hotel-hotel di Bukit Bintang dan banyak tempat lagi)


Untuk mengatasinya, dicadangkan :


DBKL harus melarang bas pelancong dengan sesuka hatinya menunggu penumpang di depan tempat-tempat pelancongan dan hotel-hotel di Kuala Lumpur.Hukuman yang tegas perlu diambil.Bas pelancong tidak dibenarkan berhenti di depan hotel-hotel atau di tempat-tempat pelancongan kecuali hanya untuk penumpang turun dan naik dari bas.



Bil : 9


Perkara : Lot-lot ‘parking’ di pusat-pusat membeli-belah


Masalah :


Sesebuah pusat membeli-belah sekiranya tidak menyediakan lot-lot ‘parking’ yang mencukupi, ini akan menimbulkan masalah kesesakan.


Untuk mengatasinya, dicadangkan :


DBKL harus memastikan pusat membeli-belah yang baru dibina mempunyai lot-lot ‘parking’ yang mencukupi untuk pelanggannya.



Bil : 10


Perkara : Lot-lot ‘parking’ di kawasan kosong kepunyaan syarikat swasta


Masalah :


Kini didapati lot-lot ‘parking’ di kawasn kosong yang diusahakan oleh syarikat swasta tidak berapa teratur; terutama dari segi permukaan kawasan ‘parking’ tidak diturap dengan baik,tanpa garis petak berwarna dan bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan selalunya tidak konsisten


Untuk mengatasinya, dicadangkan :


Pihak penguatkuasa DBKL harus mengkaji masalah ini,dari semasa ke semasa bagi memperbaiki dan menyelesaikan masalah tersebut.

Tiada ulasan: