PUSARA NENEK
Pusara nenek Lee Leong perlu digali semula. Ibu, Pak Ngah dan Pak Cik gusar sekiranya benar seperti yang dihebohkan itu. Kesahihan berita membawa padah buat kali kedua untuk keluarga Lee Leong. Mereka tidak suka mengulangi kisah lama. Biarlah nenek bersemadi selama-lama di tanah perkuburan Tionghoa Telok Belaga yang telah dilakukan semenjak 25 tahun yang lalu.
Nenek meninggal dunia tanpa wasiat; cara mana dia harus dikebumikan.
“Apa disusah-susahkan. Ikut tradisi, jenazah dikebumikan. Mengapa harus diadakan cara-cara yang lain pula? Mengada-ada !!! Tradisi tidak boleh diubah.” Bentak ayah Lee Leong apabila perbincangan adik beradik diadakan mengenai penentuan cara pengebumian nenek Lee Leong.
“Saya juga tidak suka heboh-heboh. Kita cari jalan singkat. Mayat orang Tionghoa boleh dibakar. Apa salah kita bakar sahaja. Ibupun tidak meninggalkan wasiat. Jadi kita patut ambil keputusan, bakar. Senang sahaja. Mengapa harus disusah-susahkan ? “Jerkah Pak Ngah cuba menguatkan hujah-hujahnya.
“Kamu semua hendak mencari jalan mudah. bakar. Saya tahu bakar mudah. Tapi…”
“Apa ?” Pak Ngah cuba mendapat kepastian langsung daripada ayah Lee Leong yang kelihatan sugul, termenung untuk mencari jalan keluar.
“Saya tidak suka mayat ibu dibakar. Tidak boleh dibakar. Ibu perlu dikebumikan. Hari-hari Cheng Beng, kita dapat menziarahi kubur ibu. Seperti juga keluarga Tionghoa yang lain pergi bersembahyang di pusara ibu bapa mereka.”
“Wajib” Ayah meluahkan pendapatnya bersungguh-sungguh dengan nadi tinggi untuk menyatakan perasaan kesetiaannya kepada ibunya, nenek Lee Leong.
“Apa pasal kita harus ikut orang. Bukankah banyak di antara orang Tionghoa membakar mayat ibu mereka. Mereka tidak hirau pandangan orang lain. Anggota masyarakat layak membuat keputusan daripada pandangan mereka. Kecuali ia melanggari norma dan peraturan masyarakat. Kita juga harus begitu. Di sini tiada sesuatu undang-undang menyekat kita berbuat begitu.” Pak Ngah cuba meyakini ayah mengapa dia lebih suka mayat ibunya dibakar sahaja.
Ayah tetap berdegil mahu jenayah ibunya, nenek Lee Leong itu dikebumikan seperti ayahnya Lee Tong disemadikan di perkuburan Tionghoa Telok Belaga bukan dibakar. Membakar bererti melawan tradisi keluarga. Bercanggah dengan adat istiadat keluarga. Mencemar nama baik keluarga Lee. Anak mesti patuh pada adat. Anak harus patuh pula pada tradisi orang Tionghoa. Dia tidak suka ubah hanya untuk meringkaskan upacara.
Ayah Lee Leong sedar, adiknya sejak balik dari luar negeri, tindakanya suka akan yang lebih ringkas. Lebih ringkas lebih baik. Ayah Lee Leong pula, pegangnya berlainan bukan yang ringkas, yang penting adat dan tradisi.
“Bila diambil keputusan dibakar mayat ibu, ini bukan bererti kita sudah lupa akan adat. Tidak begitu. Mungkin lebih elok. Sebab kita boleh hantar abu mayat ibu ke tokong. Di sana, abu mayat ibu disemadikan. Ibu disembahyangkan selalu oleh pihak tokong. Kita hanya diminta membayar sedikit wang yuran penyelenggaraan tahunan. Kita mampu membayarnya. Kita masih dapat ‘melawat’ ibu. Lee Leong juga masih boleh melawat neneknya dengan berkunjung ke tokong untuk sembahyang. Semua ahli keluarga boleh datang bersembahyang bila-bila masa sahaja. Tanpa ada sebarang halang. Tanpa mesti menunggu menjelang hari-hari Cheng Beng. Hari sembahyang Arwah.”
“Kalau dikebumikan, hanya hari-hari Cheng Beng sahaja kita hanya boleh pergi mengunjungi pusara ibu. Hari lain, orang Tionghoa tidak akan berkunjung ke pusaka ibu mereka.” Pak Ngah cuba menengahkan pandangannya untuk menarik perhatian ayah Lee Leong yang masih degil mempertahankan pandangannya.
“Saya tidak perduli. Saya abang Long. Saya ada kuasa veto. Saya ketua keluarga. Apabila saya kata, ibu harus dikebumikan. Tidak ada tolak ansur. Ini masalah adat. Adat tidak ada tolak ansur. Anggota Keluarga Lee tidak pernah dibakar. Hendak ikut atau tidak, terpulang masing-masing. Kita sedar dalam masyarakat Tionghoa tidak ada kitab suci mengawal kita dalam hal seperti ini. Kita melakukan sesuatu tindakan mengikut pandangan masing-masing. Dan pandangan keluaga masing-masing. Dalam hal ibu ini, saya masih mendesak supaya kita ikut tradisi keluarga kita. Ibu dikebumikan di pusara sebelah ayah. Tidak perlu ada banyak soal jawab lagi. “Tegas ayah Lee Leong kepada adik-adiknya dengan keputusan yang mutamad.
Kini sebatang jalan harus dibina melintasi atas pusara nenek Lee Leong. Pusara nenek harus digali dan memungut tulang-tulang yang baki untuk dipindah dan ditanam semula dalam satu tanah perkuburan yang lain. Pak Ngah Lee Leong benci membuat kerja-kerja tersebut. Kini kewajipan dan kuasanya lain. Dia harus menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga Lee. Ayahnya telah tiada. Ibunya juga tidak ada. Abangnya, ayah Lee Leong juga tidak ada lagi.
“Saya datang untuk menyampaikan hajat Kerajaan melalui Pejabat Tanah. Mereka memilih saya untuk menyampaikan mesej.” Kata Tan Long, Tok Penghulu, Kampung Telok Belaga.
“Dahulu lagi, saya telah beritahu ayah Lee Leong supaya jenazah ibu, dibakar sahaja. Kini masalah seperti ini tidak timbul lagi.”Ujar Lee Chong kepada Tok Penghulu
“Mengapa Tok Penghulu tidak berjumpa dengan emak Lee Leong sahaja. Mereka yang dahulu berkeras hendak mengebumikan arwah ibu. Padahal saya hendak jenazah ibu saya dibakar. Masalah kini gali menggali tidak timbul lagi.” Kata Lee Chong.
“Itu kisah lama. Jangan diungkit-ungkit lagi. Arwah Abangmu, Ayah Lee Leongpun telah meninggal beberapa tahun yang lalu. Isterinya, kakak iparmu seorang perempuan. Tarafnya sudah tentu lebih rendah daripada kamu. Lagipun, kakak iparmupun seperti engkau juga. Tidak terdaya melawan keputusan suaminya. Abang kamu. Kalau tidakpun, kamu kena pindah tulang-tulang ayah kamu yang ditempat di sebelah pusara ibumu itu.”
“Engkau lelaki. Harus jadi ketua keluarga Lee. Dan kubur ayahmu pun terlibat. Jadi engkaupun diminta menguruskan masalah tersebut.” Tegas Tok Penghulu.
“Jangan engkau berdolak dalik lagi. Ini tanggungjawab anak lelaki. Ini masalah ayah dan ibu kamu. Tanggungjasab ini besar bukan main-main. Kalau arwah abangmu masih ada. Tugas ini sudah tentu dikerjakan oleh abangmu tanpa banyak bicara. Menurut orang Tionghoa, peranan anak lelaki itu amat penting. Kita bukan orang Barat.”
“Tapi…”
“Tapi ? Apa ?” Tanya Tok Penghulu.
“Tapi saya sudah lama tidak mengerjakan kewajipan saya sebagai seorang anak. Tidak pernah saya menziarahi kubur ibu bapa pada hari-hari Cheng Beng. Perkara ini berlaku semenjak ibu saya meninggal dunia dahulu.” Suara sayu terkeluar daripada mulut Lee Chong membawa nada kesal.
“Tidak bolehkah pihak Tok Penghulu saja mengerjakan upacara itu. Saya yang mewakili keluarga Lee memberi persetujuan total. Duit ganti rugi dari Kerajaan itu, Tok Penghulu gunakan untuk kos pembelanjaaan penyelenggaraan upacara itu. Kalau ada lebih, sedekahlah kepada tokong.” Lee Chong meminta pertolongan daripada Ketua Kampung.
“Tidak elok buat begitu. Kedua-dua arwah, masih ada anak dan cucunya. Menggali kubur, memungut tulang-tulang dikatakan mengutip emas (cap kam) , anak arwah harus hadir. Kecuali mereka tidak ada lagi. Tidak wajar buat begitu. Engkau dianggap ketua keluarga mereka. Engkau jangan mengelak dari melakukan pekerjaan yang murni ini. Ini melibatkan ayah dan ibu kamu. Ini melibatkan fungsui keluarga kamu. Ini melibatkan kamu mencari satu tempat yang baik untuk menanam semula tulang-tulang arwah ibu dan ayah kamu.”
“Tapak pusara ibu dan ayah kamu nanti menetukan tuah keluarga kamu. Tanggungjawab ini sukar saya pikul. Saya orang luar bukan anggota keluarga Lee. Ini kamu harus faham sebagai seorang anak lelaki bangsa Tionghoa.”
“Perkara ini tidak perlu digesa-gesakan. Kerajaan hanya membina jalan pada akhir tahun. Engkau masih mempunyai masa untuk berfikir. Selaku ketua keluarga Lee, engkau harus memikirkan kemanfaatan keluargamu semua. Tanah pusara orantg tua memberi tuah sekira dipilih dengan bijak. Terpulang sama ada kau percaya atau tidak. Aku hanya sampaikan apa yang aku alami dan dengar. Berilah tempoh kepada dirimu untuk berfikir. Cheng Beng masih ada sebulan lagi untuk menjelang. Pergi sembahyang pusara arwah ibu bapamu. Minta restu mereka. Minta berkat mereka. Kemudian tentukan tarikh yang sesuai untuk menggali pusara kedua-dua orang tuamu itu.”
Tan Chong meninggalkan pejabat Lee Chong dengan membawa harapan cerah. Sekonyong-nyong hujan turun dengan lebatnya. Jeritan petir kedengaran dengan kuat. Tan Long berharap Lee Chong akan membuat keputusan yang bijaksama bukan selaku Tanggang yang menyesali perbuatannya.
Khamis, 14 Jun 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan