LAUT, BOT, SEORANG NELAYAN
Deruan bayu dari Selat Melaka yang dingin tidak dapat mententeramkan jiwa Kam Lee yang bergelora. Kampung Kuala Sungai Baru telah menjadi kampung halaman ayahnya ,Hai Gong semenjak ayahnya masih muda-muda lagi. Semenjak kecil, lautlah menjadi tempat mandiannya. Ayahnya menjadikan laut tempat mencari rezeki. Adik beradiknyapun membesar melalui hasil tangkapan dari Laut Selat Melaka. Pernah dia tertekan di tepi perahu disebabkan terlalu letih semasa mendayung menyebabkan perahu ayahnya terbalik dan kedua-duanya jatuh ke dalam laut. Dia dan ayahnya terselamat sebab perahu sudah berada tidak jauh dari tepi pantai. Peristiwa itu masih jelas terpahat dalam ingatannya. Semasa itu mereka ke laut dengan membawa jaring pukat hanyut yang bermata kecil untuk menangkap ikan kekasih dan ikan selangat. Ikan kekasih dan juga ikan selangat jika terkena jaring pukat hanyut mereka dengan jumlah yang banyak. Kadang-kala sampai beribu-ribu ekor banyaknya. Isi ikan kekasih dan ikan selangat sangat sedap dimakan tetapi banyak tulang. Harga ikan-ikan itu terlalu murah di pasaran.
Semenjak ayahnya meninggal dunia, Kam Lee telah banyak berubah. Dia telah menggunakan bot yang bermotor, buatan Jepun bukan perahu kecil milik ayahnya lagi. Berkuda besar dan menggunakan minyak diesel. Jika dahulu perahu kecil ayahnya boleh mengancam nyawa ayah dan dirinya, kini, botnya sentiasa memberi perlindungan kepada diri dan awak-awaknya. Botnya itu dijangka akan berpisah dengannya. Ini yang membimbang dan membingungkan dirinya. Nyawa botnya tidak panjang lagi. Mungkin dia terpaksa berpisah dengan botnya, jelas terbayang. Masanya tidak lama lagi, dua belas bulan lagi.
Dia memandang jauh ke Selat Melaka memikirkan bagaimana dia boleh menyelamatkan botnya supaya hak miliknya masih kekal pada dirinya. Botnya tidak akan bertahan lama. Usia Kam Lee juga telah lanjut, ini merupakan satu faktor, dia terpaksa berpisah dengan botnya. Akhir-akhir ini di telinganya sering kedengaran suara menyatakan,”Kamu sudah tua, kamu sudah nyanyuk, lupakan sahaja laut, laut mengancam nyawa, kamu telah tua, tenaga kudrat sudah semput dan tulang-tulang kamu sudah reput, lupakan sahaja laut. Laut mengganas. Laut untuk mereka yang muda. Kini, zaman orang-orang muda. Bukan kamu lagi yang tua-tua .” Suara-suara sumbang itu menyakitkan dirinya. Benarkah diri nya sudah tua ?
Selat Melaka yang diliputi kabus, dilihatnya sekali lagi. Pulau Undan jauh sayup berbalam-balam kelihatan di hadapannya. Ada harapankah baginya untuk mempertahankan hak botnya itu ? Jaring pukat hanyutnya tidak menangkap ikan kekasih atau ikan selangat lagi ,sebaliknya, menangkap Ikan tenggiri, ikan parang, ikan bawal, ikan yu, ikan kembung dan sebagainya. Ikan tangkapannya selalu dijual melalui orang tengah. Sudah lumrah orang tengah akan mengenakan faedah ke atas setiap jualan.Dikenakan bayaran sebanyak tujuh peratus bagi nelayan yang berhutang dengan taukeh, bagi yang tidak berhutang, bayaran tetap dikenakan sebanyak lima peratus. Kam Lee sedar walaupun orang tengah merupakan lintah darat dalam kehidupannya selama ini tetapi ancaman yang bakal dihadapinya ini lebih besar, mencabar dan getir untuk dia seorang menghadapinya.
Orang tengah telah mengancam hidupnya bertahun-tahun lama. Dia sedar dan faham tindak tanduk orang tengah. Bukan sahaja bayaran yang dikenakan menyusahkan Kam Lee, tetapi sistem jual lelong yang berbentuk berbisek-bisek yang dijalankan oleh taukeh-taukeh ikan itu juga mengancam penghidupnya dan kawan-kawan yang lain. Dia selalu menyuarakan penderitaannya itu kepada kawan-kawannya yang bukan nelayan sambil berkata,” Semua itu adalah ancaman yang perlu dihadapi oleh manusia yang dikenali sebagai seorang nelayan sepertinya di samping ancaman keganasan ombak dan air laut Selat Melaka. Kalau takut ombak, jangan dirikan rumah di tepi pantai, inikan pula dia seorang nelayan.” Dalam usia setua Kam Lee sekarang, dia selalu menyuarakan protesnya kepada isterinya, mengapa dia perlu menghadapi hidup yang lebih getir daripada ayahnya. Apakah kesalahannya? Tidak ke laut adakah menjadi satu kesalahan besar, hingga harta milik terpaksa dijual atau ada sebab-sebab yang lain, Adakah kawasan laut untuk menangkap ikan telah menjadi lebih kecil atau menyempit ? Atau disebabkan bahana tambakan laut atau sisa-sisa pepejal buangan ke dalam sungai serta menuju ke laut serta mencermakan air laut. Serba serbi kemungkinan boleh berlaku sehingga laut yang beribu-ibu tahun bersemadi kini telah hilang harta khazanah yang terbesar serta bernilai, iaitu ikan. Semua boleh terjadi ? Persoalan-persoalan ini berbuai-buai di benak Kam Lee. Sekonyong-konyong terdengar suara yang terkeluar dari mulut pegawai itu membuat Kam Lee tersentak.
“Encik mesti pergi sendiri. Lesen ini atas nama encik,” tegas pegawai itu kepada Kam Lee.
“Perkara ini telah saya katakan tahun lepas lagi, di pejabat ini. Semasa encik hendak membaharui lesen ini. Di belakang lesen yang lama inipun telah kami catatkan syarat-syaratnya. Pemilik mesti pergi sendiri termasuk awak-awak. “
“Encik mengerti ?” Pegawai itu cuba memperingatkan Kam Lee.
“Tahun ini tahun yang terakhir. Tahun hadapan encik tidak perlu datang ke pejabat ini lagi. Sebab kami tidak akan membaharui lesen encik lagi.”
“Saya faham tuan. Saya ucapkan terima kasih atas nasihat tuan itu. Tapi…”
“Tapi apa ?” Tanya pegawai itu.
“Keadaan diri saya. Cuba Tuan tengok diri saya ini. Bolehkah saya pergi lagi. Umur sayapun dah lanjut.”
“Itu kami Faham. Tapi kami terpaksa ikut arahan. Kami tidak boleh menolong encik. Kami tidak mempunyai kuasa seperti itu. Ini arahan dari Ibu Pejabat. Mereka suruh sampaikan arah kepada encik. Ini yang kami lakukan.”
“Tidak bolehkah dilanjutkan lagi tempohnya ?”Tanya Kam Lee.
“Itupun kami tidak tahu. Yang kami tahu. Perkara ini sedang dibahaskan di Parlimen. Kalau diluluskan, ia menjadi undang-undang maka penguatkuasaannya akan dijalankan. Ini bererti pada permulaan tahun depan, setiap pemilik lessen bot mesti pergi sendiri. Pihak encik boleh buat bantahan kalau tidak setuju.”
“Boleh kami bantah ?”
“Boleh.” Jawab pegawai itu secara selamba sahaja.
“Negara kita ini mengamalkan prinsip demokrasi. Tiap-tiap orang boleh menyuarakan pendapatnya dengan had-had tertentu. Ini termasuk diri encik. Encik juga ahli koperasi. Mungkin koperasi kawasan encik boleh turut sama dalam bantahan itu. Wakil rakyat kawasan encik mungkin boleh membantu sama. Berjaya atau tidak, terpulanglah kepada kebolehan encik dan rakan-rakan encik.”
“Mengapa encik perlu membantah ?”
“Bukankah dalam usia setua encik ini tidak perlu bekerja lagi ?Berehat sahaja di rumah. Jualkan lessen dan bot encik yang ada sekarang kepada mereka yang mampu pergi serta bertenaga kuat. Encik sudah tentu mempunyai anak. Biarlah anak-anak encik memelihara encik. Itulah tanggungjawab mereka. Memelihara ayah yang sudah tua. Bukankah begitu ?”
“Anak !” Kam Lee tersenyum sinis.
“Anak, saya ada. tetapi mereka masih bersekolah lagi. Sebab saya kahwin dalam usia yang lanjut. Masa muda saya sibuk mencari rezeki. Harta yang ada pada saya ialah lesen yang di depan tuan itu dan sebuah bot. Itulah harta tunggul saya sekarang Sebagai nelayan, hartanya ialah bot dan alat-alat tangkapan.” Jawab Kam Lee bagi menjelaskan persoalan pegawai berkenaan.
“Pada akhir tahun ini, pihak tuan pula hendak ambil balik satu lagi harta saya.”
“Di mana lagi tempat saya hendak bergantung ? Harta lain, saya tidak ada. Kalau encik suruh saya jual harta yang ada itu, bagaimana saya hendak memberi makan dan memelihara anak-anak saya yang masih bersekolah itu. Hendak mencari kerja lain, saya tidak mampu kerana usia saya sekarang sudah terlalu lanjut. Hendak disuruh anak-anak bekerja, mereka masih di bangku sekolah lagi.”
“Saya bersimpati dengan encik. Tapi apa yang boleh kami buat, di samping memberi nasihat kepada encik dan mengikut arahan.” Pegawai itu cuba memujuk Kam Lee.
“Saya sedar tugas dan tanggungjawab tuan di pejabat ini memang berat. Tuan tidak mempunyai kuasa kecuali mengikut perintah. Saya tidak perlu bertengkar dengan tuan. Bertengkar pun tidak mendatangkan apa-apa faedah. Undang-undang ini bukan dibuat oleh tuan di sini. Semua ini datang dari Ibu Pejabat. Apa yang saya kesalkan ialah kami tidak dihubungi semasa undang-undang digubal. Berilah kami kesempatan untuk menyuarakan pandangan dan masalah kami. Buat kajian tentang masalah kami. Perkara-perkara perlu ditinjau dan disemak bersama untuk mendapat natijah yang sewajarnya sebelum sesuatu akta diwujudkan. Harus dipinta pandangan pelbagai lapisan masyarakat bagi mewujudkan sesuatu akta itu, bukan” Kam Lee menyuarakan pandangan secara jujur.
“Memang tujuan tiap-tiap undang-undang itu baik. Tapi kadangkala ia mendatangkan penderitaan kepada sebilangan orang tertentu. Ini tidak dapat dielakkan lagi. Begitu juga bila kita inginkan pembangunan, kadangkala ia menjejaskan alam sekitar kita. Ada juga orang-orang mencari rezeki dari kawasan alam sekitar turut terjejas. Ini tidak dapat dielakkan. Begitu dalam kes encik ini. Undang-udang mengatakan pemilik bot mesti pergi ke laut menangkap ikan. Ini bererti mereka yang tidak ke laut tidak boleh memiliki bot menangkap ikan. Bukankah begitu ? Tapi sekarang encik berada dalam keadaan dilema. Hendak pergi ke laut, tidak berupaya sebab sudah tua. Tidak pergi ke laut, bot terpaksa dijual. Mata pencarian akan hilang dan tertutuplah sumber pencarian untuk menanggung anak-anak.” Pegawai itu cuba memberi sedikit pandangan.
“Saya setuju dengan pendapat tuan itu. Itulah keadaan saya sekarang.Hendak jual bot saya itu dengan lesen di depan tuan itu. nilainya tidaklah seberapa, tidak cukup pun untuk menanggung kelaruga saya. Perkara inilah yang menyebabkan saya menjadi serba salah. Saya tentu akan senang hati sekiranya lesen ini dapat diperbaharui tahun demi tahun.”
“Encik tidak perlu bersusah hati sekarang. Encik masih mempunyai masa selama dua belas bulan untuk mencari jalan untuk memperolehi sumber lain untuk menanggung keluarga encik.”
“Ambillah lesen buat tahun ini dahulu. Suruhlah awak-awak encik pergi ke laut menangkap ikan untuk selama dua belas bulan lagi. Selepas itu, sila jualkan bot encik itu. Ini kehendak undang-undang. Undang-undang telah memberi banyak masa untuk encik mencari sumber lain bagi penghidupan baru. Hujan renyai-renyai mula turun. Sang bayu mula bertiup dengan kencang. Sekeliling pantai mula gelap gelita, pokok mengkuang berbuai-buai ditiup angin. Pemandangan Laut Selat Melaka bertambah kabur dilihat.
“Bangunlah, bos.” Gerak awak-awaknya.
“Saya bermimpi, rupanya.” Kata Kam Lee.
Keadaan sekeliling bertambah gelap, hujan lebat akan turun bila-bila masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan