Senja Di Kem Warisan
Suasana senja di tebing sungai Kem Warisan yang tenang serta dipenuhi dengan pokok-pokok nipah dan diselang-seli pula pokok-pokok bakau mengimbau ingatan manis dan perasaan takut Cikgu Kamis.
Perasaan manis timbul kerana terdapat bermacam-macam pokok buah-buahan pelbagai jenis tumbuh subur. Penghuni bermastautin di bawah pokok-pokok buah beraneka jenis seolah-olah hidup di “resort” binaan manusia. Musim buah merupakan satu pesta penghuni Kem. Perasaan gerun dirangsang oleh kemunculan sang buaya pada waktu senja di sungai yang airnya biru, kadang kala berkelodak seperti air sawah dan malam pula membawa pelbagai kenangan penjelmaan makhluk ajaib di larut malam yang unik dan menggerunkan.
Sudah menjadi kebiasaan pemilik atau operator Kem menyewa dari tuan tanah tertentu untuk dijadikan kem latihan. Kebun buah-buahan terbiar atau tanah pinggir hutan dipilih. Diratakan. Didirikan pejabat untuk kegunaan staf urusetia. Pokok buah-buahan tradisi seperti jering, manggis, belimbing dan sebagainya dikekalkan di sana sini dalam kem yang difikirkan perlu dan mustahak. Juga didirikan kantin, rumah memasak dan bilik stor.
Kelas harus ada. Kem mempunyai bilik kelas untuk Latihan Dalam Kumpulan. Tidak kurang daripada 12 kelas didirikan. Disediakan kerusi, papan hitam, marker serta alat-alat tulis yang lain. Ini pun tidak mencukupi, harus ada pelatih. Pelatih didatangkan atas kehendak Akta. Jumlah pelatih setiap kem mempunyai kira-kira 350 orang. Sebuah kelas menghuni 25-30 orang. Selain itu, kem harus ada jurulatih. Bilik Dorm pelatih lelaki dan wanita terletak berjauhan antara satu sama lain. Begitu juga bilik Dorm bagi jurulatih lelaki dan wanita.
Cikgu Kamis teringat pandangan seorang penulis mencadangkan bagaimana mereka yang pakar tidak ditawarkan bertugas di kem-kem. Cikgu Kamis tersenyum sahaja. Pandangan itu seolah-olah telah terjawab oleh kata-kata ketua jurulatih TOTnya.
“Mereka bukan mahasiswa. Tak perlu pakai pensyarah atau pakar. Fasilitator mencukupi. Pihak berwajib pun berpandangan begitu. Tugas kita bukan sebagai cikgu mereka, seperti di kelas mereka dahulu; tugas kita ialah membimbing atau melakukan mudahcara bukan mengajar mereka. Walaupun kita dipanggil sebagai cikgu, kita hanya tunjukkan prosedur atau aturcara yang perlu diikuti untuk memahami sesuatu konsep modul itu. Yang tepat, kita hanya melakukan mudahcara atau sebagai fasilitator.”
Fikiran Cikgu Kamis, selaku ketua jurulatih Modul Kenegaraan tersentak apabila keretanya memasuki jalan menuju ke Kem Warisan. Keretanya terpaksa diperlahankan. Tidak jauh permulaan masuk ke Kem, terdapat batang-batang besi membentuk jambatan terletak melintasi di tengah-tengah jalan. Kereta Cikgu Kamis terhoyang-hayang melaluinya. Meter kereta menunjukkan angka 20 sahaja. Jarum meter memanjat ke atas dan ke bawah. Pergerakan kereta terpaksa diperlahankan lagi. Jalan yang dilalui merupakan tanah merah yang tidak rata. Kereta Proton Iswaranya memasuki kem sejauh 3.5 kilometer dari Jalan Besar.
Mata Cikgu Kamis liar memandang kepada sepucuk surat. Dia teringat jelas kata-kata yang terpahat dalam surat itu. Kata-kata dalam surat itu menghendakinya pergi ke kem berkenaan dan pada tarikh yang ditetapkan. Surat itu berbunyi, “Harap maklum bahawa kegagalan tuan untuk mematuhi Notis ini adalah satu kesalahan dan jika disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara untuk tempoh tidak melebihi 3 bulan atau kedua-duanya.”
Madah keras surat itu tidak menakutkannya Cikgu Kamis sebagai bekas guru. Walaupun tugas ini baru tetapi tugas tersebut tidak mencabar bagi Cikgu Kamis sebab tugas ini tidak jauh dari dunia pendidikan. Sebagai guru yang pernah mendapat pelbagai hadiah cemerlang, Cikgu Kamis akan mencurahkan ilmu yang ada di dada bagi memastikan pelatih mementingkan perpaduan dan kerjasama di antara kaum. Mereka harus mencintai negara, bangsa, agama dan tanahair tercinta ini. Mereka juga disedarkan mengenai masalah sosial, gangsterisma dan konflik kaum. Generasi pelapis kini harus ditanam semangat berupaya bekerjasama di antara satu sama lain bagi kemakmuran dan kemajuan negara ini.
“Ini Cikgu Kamiskah?” Kata Kem Komandan.
“Ya.” Jawab Cikgu Kamis selamba.
“Sila masuk.” Desak Kem Komandan yang berpangkat mejar dari TUDM
“Cikgu Kamis tahukah jadual Modul Kenegaraan. Kali ini ia berjalan selama 6 minggu.” Soal Kem Komanden kepada Cikgu Kamis.
KK seolah-olah ingin memaklumkan kepada Cikgu Kamis.
“Minggu pertama: Modul Silang Budaya dan Sistem Nilai. Lima minggu yang lain ialah Modul Kenegaraan. Pada sebelah malam pula Modul Penghayatan Sastera dan Budaya dari Dewan Bahasa dan Pustaka selama seminggu.” KK cepat menjelaskan.
Dia mungkin berpendapat Cikgu Kamis tidak tahu.
“Saya baru tamat kursus TOT Modul Sistem Nilai. Tahulah saya bagaimana hendak menyampaikan ilmu itu kepada anak-anak buah serta pelatih.” Jelas Cikgu Kamis dengan hormat bagi meyakinkan KK.
“Ia tak ia.” Kata KK secara spontan. Kini dia teringat apabila “anak buah” disebut oleh Cikgu Kamis.
“Baru saya ingat. Pada saya ini, ada senarai nama anak buah cikgu, seramai 15 orang.”
“Cukuplah tu.” Jelas Cikgu Kamis dengan pantas.
“Boleh saya cadangkan, memandangkan di kem ini ada 12 kelas, dua orang cikgu itu boleh menjadi pembantu cikgu. Seorang jadi penolong. Seorang lagi jadi penjaga logistik. Jika ada cikgu yang cuti atau yang tak dapat masuk kelas, cikgu-cikgu yang lain itu bolehlah bergilir-gilir mengambil alih tugas sebagai cikgu.”
“Semua mereka telah menghadiri kursus TOT. Semua mereka boleh menjadi fasilitator. Tuan jangan bimbang. Cadangan tuan itu akan saya laksanakan.”
Cikgu Kamis membuat janji kepada KK. Cikgu Kamis menyedari bahawa KK ini lembut orangnya. Dia amat yakin dan percaya Cikgu Kamis selaku KJ dapat menjalankan tugas yang diamanahkan oleh pihak berwajib dan pihak kem dengan sebaik-baiknya.
“Selain cikgu Modul Kenegaraan, kem ini juga ada cikgu Modul Fizikal. Cikgu Modul Kenegaraan harus boleh bekerjasama dengan cikgu Modul Fizikal serta anak-anak buahnya. Bekerjasama terutama dari segi penyusunan masa aktiviti kelas. Walaupun pihak berwajib telah ada jadual, mungkin, adakala kita perlu membuat sedikit perubahan. Cikgu dan KJ Fizikal boleh membuat penyelerasan.” Tegas Timbalan Kem Komanden Latihan.
“Bekerja dengan saya tidak ada nonsense. Saya akan tegur secara direct. Salah, saya akan kata salah. Saya tak gemar jurulatih keluar dari kem tanpa menulis dalam buku rekod.” Desak Timbalan Kem Komanden Latihan secara serius. Dia merenung tajam kepada KJ Kenegaraan dengan ingatan bahawa tindakan akan diambil sekiranya tidak mengikut arahannya.
“Mulai dari hari esok, saya mahu jurulatih-jurulatih Modul Kenegaraan menjalankan aktiviti malam.” Timbalan Kem Komanden Latihan memberitahu Cikgu Kamis kehendaknya.
“Tuan, dalam jadual tugas kami tidak disebut kami ada tugas malam?” Luah Cikgu Kamis secara bersungguh-sungguh bagi meyakinkan TKKL.
“Jika kamu semua tidak mahu menjalankan aktiviti malam, siapa pula yang akan menjalankan kerja-kerja tersebut. Tak akan jurulatih Modul Fizikal akan mengambil alih tugas sebelah malam?” TKKL cuba memberi hujahnya.
“Tapi … tapi … tapi … dalam surat pelantikan kami tidak disebut pun kami kena kerja malam.” Cikgu Kamis seolah-olah tergamam dengan hujah TKKL itu.
“Saya tak tahu. Dalam pandangan saya, anak buah cikgu boleh menjalankan tugas tersebut. Contohnya mengadakan aktiviti kebudayaan dan sastera. Adakan pertandingan Dikir Barat, Boria, Dondang Sayang dan sebagainya.”
TKKL memandang ke arah Cikgu Kamis bagi mendapatkan jawapan tetapi Cikgu Kamis hanya terpegun tanpa memberi sebarang jawapan. Matanya liar memandang ke siling bilik urusetia, seolah-olah untuk mendapatkan jawapan yang meyakinkan untuk diberitahu kepada TKKL.
“Kerja yang mudah itupun susah ke? Tidakkanlah di kalangan kamu tidak ada jurulatih yang boleh menjalankan tugas tersebut.” TKKL cuba menenangkan fikiran Cikgu Kamis yang sedang berkecamuk dengan masalah tersebut.
“Baiklah tuan. Saya akan cuba memastikan ada anak buah saya yang boleh menjalankan tugas pada sebelah malam.” Jawab Cikgu Kamis secara selamba.
“Jangan khuatir sangat, kerjanya bukanlah susah. Saya dengar Dewan Bahasa dan Pustaka juga ada rancangannya sendiri. Modul Penghayatan Sastera dan Budaya. Mungkin pada malam-malam tertentu mereka juga akan mengajar modul mereka itu. Contohnya, mengadakan aktiviti menyanyi lagu-lagu patriotik berdasarkan buku puisi tertentu. Mendeklamasikan sajak, gurindam, syair mengenai puisi tradisi. Saya dengar mereka akan menggunakan waktu malam, selama 6 malam. Mereka akan mulakan tiga malam pertama. Selepas itu mereka akan berehat selama 3 hari berikutnya mereka akan sambung melakukan aktiviti mereka selama 3 malam lagi. Dan pihak berwajib juga ada program-program tertentu pada malam hari. Saya dengar ada pihak kolej kerajaan akan mengadakan ceramah kepada para pelatih.” TKKL cuba meyakinkan Cikgu Kamis bahawa beban menjalankan aktiviti malam itu bukanlah secara total diambil alih oleh jurulatih Kenegaraan sahaja. Ada juga pihak-pihak tertentu akan bertanggungjawab menjalankan aktiviti-aktiviti pada malam hari.”
“Oklah tuan. Saya berjanji akan membincangkan perkara ini dengan anak-anak buah saya. Jurulatih-jurulatih Kenegaraan akan mengadakan aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk para pelatih pada malam hari kelak.” Jawab Cikgu Kamis.
“Cikgu Kamis, ada 2 perkara lagi, ingin saya maklumkan. Pertama, jurulatih Kenegaraan juga harus melibatkan diri dalam aktiviti PT setiap pagi dan mereka juga pada masa-masa tertentu diwajibkan memakai pakaian full celoreng.” TKKL menjelaskan kehendaknya kepada Cikgu Kamis.
“Ia, Tuan.” Cikgu Kamis pun beredar keluar dari bilik TKKL dan menuju ke Dorm jurulatih lelaki. Dia tidak menyalahkan TKKL, memang tugasnya untuk mengarahkan jurulatih-jurulatih menjalankan aktiviti yang diperlukan oleh pihak kem.
Cikgu Kamis menghadapi delima. Bagaimana dia hendak memaklumkan kehendak TKKL kepada anak buahnya. Seolah-olah keadaan yang sukar dihadapi ini mirip masalah yang dialami semasa dia melalui pertengahan jalan masuk ke Kem Warisan tempoh hari. Sama ada dia harus menentang pihak berwajib, Kem Komanden dan Timbalan Kem Komanden Latihan mengenai perkara-perkara yang dicadangkan serta diwajibkan kepadanya untuk dilaksanakan. Bagaimana dia hendak meyakinkan anak buahnya bahawa mereka, jurulatih Kenegaraan, harus melaksanakan tugas-tugas tersebut pada waktu malam. Dia juga menerima khabar angin bahawa anak buahnya juga kena meronda pada waktu malam. Sebagai cikgu yang menjalankan aktiviti di dalam kelas, pada waktu pagi adakah mereka diwajibkan juga meronda pada waktu malam? Tetapi Cikgu Kamis teringat pada surat lantikan bertugas telah dinyatakan mereka wajib bertugas meronda pada waktu malam. Persoalan-persoalan ini sedang bercambah dalam benaknya. Bagaimana? Bagaimana? Dia harus mengambil keputusan. Kalau jawapannya dia tidak mengikut arahan pihak kem sudah tentu dia akan dilucutkan jawatannya sebagai KJ atau Ketua Jurulatih Kenegaraan. Sekiranya jawapannya sebaliknya iaitu menyokong cadangan pihak pengurusan kem, ini bererti dia akan terpaksa memujuk atau memaksa anak buahnya melakukan perkara-perkara yang dicadangkan oleh pihak kem. Kini dia dalam delima.
Suasana senja di tepi sungai Kem Warisan menggelapkan pandangannya lagi. Cerita-cerita gerun penjelmaan makhluk ajaib yang sering didengar yang disampaikan oleh penghuni di kem tersebut bertambah berat lagi pemikirannya. Pokok-pokok nipah dan pokok-pokok bakau yang sekali sekala tergoyang semasa Sang Bayu meniup tidak dapat menenangkan fikirannya yang berkecamuk. Keputusan yang bagaimana perlu diambil. Memprotes atau bersetuju dengan padangan pihak kem. Atau ada cara lain? Yang mana harus dia pilih sebagai ketua jurulatih. Menentang, dia akan hilang peluang bertugas sebagai ketua jurulatih di kem. Jalan mana perlu dipilih. Ini mengingatinya mengenai masalah yang dihadapi semasa dia melalui pertengahan jalan masuk ke Kem Warisan. Sama ada dia memilih jalan ke kiri atau ke kanan.
Padahal pada hari pertama melapor diri, Cikgu Kamis melihat papan tanda di luar jalan besar mencatat 3.5 km untuk sampai ke Kem. Semasa keretanya sampai di persimpangan jalan di tengah-tengah jalan ke kem, dia berada kira-kira 2.5 km dari jalan besar. Jalan di hadapannya ada dua simpang: satu ke kiri, satu ke kanan. Dia harus membuat keputusan. Dia mendapati jalan di sebelah kiri tidak licin dan tidak rata. Ini menunjukkan jalan sebelah kiri kurang dilalui oleh kenderaan padahal jalan sebelah kanan permukaan jalannya licin, ini menunjukkan banyak kenderaan telah melalui jalan tersebut. Pada masa itu dia telah mengambil keputusan untuk melalui jalan yang terletak di sebelah kanan.
Kini jalan mana pula harus dia ambil? Kiri atau kanan?
Senja di Kem Warisan tetap melambai wajah malam. Malam akan menjelang. Suasana malam akan membawa pelbagai perasaan yang menakutkan. Cikgu Kamis termenung seketika. Dia sedang merenung jauh ke sungai di depannya. Dia sedang mencari jawapan yang sebenar.
Khamis, 14 Jun 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan