Khamis, 14 Jun 2007

MASALAH SETINGGAN DI MALAYSIA 8

MASALAH SETINGGAN DI MALAYSIA:
PENDEKATAN MENGATASINYA

Masalah setinggan sudah lama wujud di negara ini. Banyak pendekatan digunakan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Walau bagaimanapun masalah ini masih dianggap boleh dibendung tetapi sukar dihapuskan sama sekali terutama dalam tempoh kita menghadapi abad ke-21 ini. Tumpuan artikel ini mencadangkan pendekatatan bagi penyelesaian masalah setinggan di Malaysia. Tumpuan juga hanya kepada idea-idea dan tindakan yang perlu diambil tanpa banyak menyentuh hal-hal lain mengenai setinggan.

Untuk mengatasi masalah setinggan, langkah pertama yang wajar dijalankan ialah satu unit khas dipanggil Unit Penyelidikan Sosioekonomi perlu diwujudkan untuk tujuan tersebut. Unit tersebut harus mempunyai tenaga pakar dalam bidang penyelidikan, ilmu ekonomi , statistik dan sebagainya untuk menjayakan masalah setinggan. Unit ini akan diminta untuk menganalisis semua aspek mengenai setinggan di negara ini, di samping menjalankan kajian tentang peranan yang sebenar yang boleh dimainkan oleh agensi-agensi Kerajaan, badan-badan berkanun serta pihak swasta tertentu dalam menangani masalah setinggan. Tanpa mempunyai pakar ekonomi ditempatkan di Unit berkenaan agak sukar unit itu untuk menjalankan tugas yang amat berat dan mencabar itu. Kalau para pengurusan unit itu hanya terdiri daripada ‘generalists’ maka unit itu pada akhirnya akan menjadi sebuah pejabat pentadbiran sahaja bukan menjadi ‘think tank’ kepada Kerajaan untuk mengatasi masalah setinggan. Perhatian harus diberi kepada masalah tersebut. Unit ini harus diberi kuasa untuk terus mengemukakan cadangannya kepada YAB Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar. Ini supaya pelaksanaan suatu program-program tindakan dapat dijalankan dengan cepat, tepat dan berkesan.

Dengan wujudnya satu Unit khusus serta diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, pihak berkuasa akan dapat meneliti masalah yang sebenar yang dihadapi oleh setinggan menjelang abad ke-21 ini. Pada permulaan, perancangan lima tahun pertama dijalankan, selepas itu perancangan bertindak yang lebih mantap dijalankan.

Unit ini juga harus dibebankan dengan tugas untuk memperolehi data yang lengkap serta terkini mengenai setinggan di negara ini. Satu kajian menyeluruh mengenai setinggan harus dijalankan oleh unit berkenaan. Ia bertujuan untuk mengenal pasti taraf sosioekonomi dan latarbelakang setinggan di negara ini. Dengan data kajian berkenaan, pihak berkuasa dapat membuat perancangan yang lebih teratur untuk mengatasi masalah setinggan sebenar. Dalam dunia moden ini, kita tidak dapat menyelesaikan sesuatu masalah itu tanpa mempunyai maklumat yang lengkap serta terkini mengenai masalah berkenaan. Lazimanya kita menghadapi masalah memperolehi data yang terbaru. Masalah ini timbul disebabkan kekurangan pakar, data yang sepatutnya diperolehi dalam masa singkat terpaksa diperolehi dalam masa yang agak lama. Ini menggagalkan usaha kita. Kita harus memastikan unit yang bakal ditubuhkan tidak menghadapi masalah yang disebutkan itu. Di dalam perpustakaan unit berkenaan harus dilengkapkan dengan buku-buku, laporan-laporan, tulisan-tulisan dan bahan-bahn yang terkini mengenai setinggan di Malaysia dan dunia. Ini bagi memudahkan para pakar membuat unjuran atau cadangan dan mengemukakan pelan bertindak yang lebih teratur untuk mengatasi masalah setinggan yang menghimpit negara kita menjelang abad ke-21 ini.

Sebagai sebuah negara membangun, peranan Kerajaaan amat penting. Dengan usaha Kerajaan yang gigih, sesuatu program dan rancangan itu dapat dilaksanakan dengan cepat dan tepat. Pemimpin kita diakui mempunyai visi yang amat bernas untuk mengatasi masalah yang menghimpit negara kita. Pemimpin negara mempunyai kuasa untuk menjayakan sesuatu rancangan untuk kepentingan rakyat. Dalam keadaan tersebut, peranan yang boleh dimainkan oleh ahli politik memang begitu besar. Ini selaras dengan matlamat Unit itu ditugaskan untuk memperolehi idea-idea bernas mengenai penyelesaian masalah setinggan di samping negara kita mempunyai golongan pegawai pentadbiran yang cekap dan efesen untuk menjalankan tangggungjawab mereka dengan sebaik-baik yang mungkin.

Ahli politik selain boleh memainkan peranan yang agressif sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing, mereka juga boleh mengemukakan idea dan cadangan yang bernas bagi mengatasi masalah setinggan. Ini disebabkan sebagai seorng ahli politik beliau sentiasa bergaul rapat dengah ahli-ahlinya. Ada di kalangan ahli mereka adalah terdiri daripada setinggan. Masalah mereka lebih diketahui oleh ahli politik sendiri. Usaha kerajaan untuk mengatasi masalah setinggan cepat boleh diselesaikan dengan kehadiran dan bantuan ahli politik. Mereka juga boleh mempengaruhi para setinggan di mana mereka itu adalah penyokong kuatnya dengan memberitahu bahawa dalam perjalanan pembangunan negara, sudah tentu ada pihak akan mendapat keuntungan, tetapi tidak kurang jua terpaksa berkorban untuk kepentingan negara, bangsa dan agama. Dalam keadaan demikian, peranan yang boleh dimainkan oleh ahli politik begitu penting. Penyokong mereka memang penting tetapi kepentingan masyarakat harus diberi perhatian yang mendalam. Sekiranya ada berlaku konflik kepentingan diri timbul, kepentingan negera dan kepentingan majoriti masyarakat harus diutamakan. Dengan cara demikian, barulah masalah setinggan yang merupakan salah isu negara boleh diatasi.

Masalah setinggan lebih banyak melibatkan Kerajaan Negeri dan Majlis Kerajaan Tempatan, termasuk juga Pejabat Tanah. Oleh itu untuk menyelesaikan masalah setinggan pihak Kerajaan Negeri perlu bersikap terbuka untuk menangani masalah tersebut. Dalam hal tersebut, pihak berkuasa tempatan dan negeri harus menguatkuasakan undang-undang tanah semolek-molek yang boleh. Penggunaan tanah terbiar , tanah lombong, tanah pinggir sepenuh-penuhnya untuk mendirikan rumah-rumah kos rendah dan rumah pangsa untuk menyediakan satu kawasan tempat tinggal yang murah dan selesa untuk kepentingan setinggan.

Syarikat-syarikat perumahan Kerajaan harus diminta hanya membina rumah kos rendah dan rumah kos sederhana sahaja. Pihak Kerajaan harus memperuntukkan satu peruntukan yang besar untuk mendirikan rumah pangsa yang murah untuk dibeli atau disewa oleh setinggan. Lazimnya kita dapati syarikat-syarikat perumahan Kerajaan negeri lebih berminat berlumba-lumba dengan pihak swasta mendirikan rumah berkos tinggi. Pihak pemaju swasta wajib diberi tanggungjawab mendirikan rumah untuk golongan menengah dan golongan kaya.

Satu langkah yang dikira berkesan pernah dijalankan oleh Kerajaan ialah mengenai syarat/sekatan mengenai pembelian rumah. Mereka yang telah memiliki rumah tidak dibenarkan memiliki rumah yang kedua. Langkah ini memang bijak. Ia bukan sahaja menyekat harga rumah dari melambung tinggi di samping memberi peluang kepada lebih ramai para setinggan membeli atau menyewa rumah Kerajaan. Penyekatan ini sepatutnya diteruskan untuk kepentingan banyak pihak. Dengan cara ini, peluang yang terbuka itu dapat diraih oleh mereka yang berpendapatan rendah. Bukan pihak yang berada sahaja diberi peluang untuk menikmati sebanyak rumah yang mereka mampu beli. Dalam keadaan harga rumah tinggi, bilangan rumah terhad, pihak setinggan sudah tentu tidak mampu untuk memiliki atau menyewa rumah. Berhadapan keadaan demikian, jalan keluar bagi setinggan ialah dengan sengaja menerokai tanah Kerajaan secara haram untuk mendirikan pondok mereka. Mereka juga seperti kita juga memerlukan tempat tingggal yang selesa untuk tempat kediaman anak-anak mereka.

Untuk mengatasi masalah setinggan,mereka harus diberi peluang pekerjaan bagi meningkatkan pendapatan mereka. Kalau pendapatan mereka masih kekal ditakok lama, selama itu mereka menjadi setinggan. Pihak berkuasa harus menjalankan usaha untuk membantu setingggan di dalam bidang kemahiran yang mana setinggan mempunyai potensi untuk berkembang maju. di samping itu, mereka yang mempunyai pengalaman tertentumereka boleh dilibatkan dalam bidang peerniagaan tertentu. Satu institusi kewangan harus dilantik untuk memberi pinjaman kepada ahli anggota keluarga setinggan untuk mengusahakan sesuatu projek atau perniagaan yang boleh meningkatkan taraf ekonomi mereka. Mereka juga mesti diberi rangsangan bagi mengubahkan sikap mereka untuk mencari peluang-peluang baru yang boleh menambahkan pendapatan mereka sepanjang masa.

Usaha Kerajaan yang teratur untuk memindahkan setinggan juga harus dialu-alukan serta dijalankan. Pemindahan mereka ke sesuatu kawasan penempatan yang baru boleh mengubahkan taraf hidup dan sikap mereka. Pengubahan sikap membuahkan peningkatan taraf hidup mereka masing-masing. Pemindahan ke satu kawasan penempatan baru membolehkan mereka dapat mendiami di kawasan yang lebih teratur dan sempurna. Di samping itu, pihak berkuasa perlu menyediakan projek khas untuk mereka usahakan bagi menambahkan pendapatan yang lebih. Kawasan penempatan baru juga akan disediakan kemudahan-kemudahan asas seperti api, air, jalan-lain dan lain-lain. Anak-anak mereka juga akan akan mendapat persekolahan yang lebih baik. Ini akan memberi peluang mobiliti yang lebih kepada mereka. Penempatan baru juga akan menyelesaikan banyak masalah. Satu daripadanya ialah masalah jenayah di kawasan setinggan. Penempatan baru akan memberi peluang kepada pihak berkuasa mengawal dan membenteras penyakit sosial di kawasan berkenaan.

Masalah setinggan merupakan satu masalah negera yang berterusan. ia memerlukan pengorbanan banyak pihak. Jumlah setinggan bertambah tahun demi tabun. Jumlah tanah yang ada terhad, di samping, kejadian malapetaka, hakisan tanah dan sebagainya juga memburukkan keadaan serta menyekang peluang setinggan mempunyai rumah sendiri.


Pembangunan yang tidak seimbang di antara negeri-negeri di Malaysia merupakan satu faktor juga mewujudkan setinggan. Bandar besar sudah sesak, disesakkan lagi dengan masalah setinggan. Semua negeri berebut-rebut bagi pembangunan yang sama. Begitu juga pelabur lebih berminat melabur di kawasan tertentu. Arah aliran ini perlu diubah.

Masalah pendatang tanpa izin juga kritikal. Kebanyakan mereka juga menjadi setinggan di negara kita ini. Undang-undang yang lebih ketat harus dikenakan ke atas mereka. Pihak majikan mereka harus bertanggungjawab tentang kediaman mereka. Ketegasan seperti itu harus ada.

Penguruangan masalah setinggan akan ketara dirasai apabila pendapatan setinggan sudah meningkat di samping pihak berkuasa sudah berkemampuan menyediakan tempat kediaman untuk kebanyakan setinggan di negara ini untuk membeli atau menyewa rumah. Kewujudan satu unit khusus seperti, “Unit Penyelidikan Sosioekonomi” pula akan dapat menangani masalah setinggan di negara ini. Unit tersebut akan menjadi think tank kepada Kerajaan dalam hal tersebut.