Khamis, 14 Jun 2007

LI CHUAN SIU (10)

LI CHUAN SIU TOKOH PENULIS TIONGHOA DALAM BAHASA
KESUSASTERAAN MELAYU DAN INDONESIA ?

Kehebatan seseorang penulis itu bukan setakat terletak kepada pencanangan oleh akhbar selalu. Karya-karya nukilan penulis itu akan secara langsung atau tidak langsung membawa citra penulis ke persada seni kehebatan yang sebenar bidang yang diceburinya. Pandangan ini serasi jika dikaitkan dengan Drs. Li Chuan Siu..

Karya-karya yang dihasilkan oleh Li sendiri telah dapat mengetengahkan namanya di kalangan penulis Tionghoa yang mahir berbahasa Melayu dalam persuratan Melayu Malaysia dan Indonesia. Walaupun, kelihatan tidak banyak menghasilkan hasil karya dalam seni sastera per se tetapi kecenderungan dan kesungguhan beliau membuahkan karya dalam bahasa dan kesusasteraan Melayu amat dikagumi bukan sahaja oleh pengkaji kesusasteraan Melayu di kalangan orang Melayu dan juga bukan Melayu. Di samping itu, beliau juga mahir dan mempunyai keupayaan melahirkan karya-karya yang berkaitan Bahasa Melayu dan Indonesia dalam Bahasa Cina dan Inggeris. Beliau juga boleh menguasai tulisan Jawi dengan baik dan pernah mengajar kepada mahasiswa-mahasiswanya.

Sekiranya ditinjau Riwayat hidup tokoh penulis ini, sudah tentu, kita dapati ragam hidup beliau yang ditempohinya di pelbagai tempat untuk menimba ilmu dalam Bahasa Mandarin, Melayu dan Indonesia serta Inggeris telah menjadikan beliau berupaya menjawat dan menyandang sebagai pensyarah di Indonesia, Singapura dan Australia. Namanya terjelma juga di dalam persada kesusasteraan Melayu di Malaysia. Walaupun, beliau sendiri mungkin tidak pernah mengajar bahasa dan kesusasteraan Melayu di universiti-universiti Malaysia kecuali memberi ceramah.

Berdasarkan persekolahan beliau di Indonesia dan juga di China sudah jelas bahawa pengalaman beliau itu telah berupaya membentuk kekuatan tokoh ini dalam penguasaan Bahasa Mandarin dan Bahasa Melayu dengan amat baik. Perjalanan hidupnya yang banyak merantau turut menjanakan beliau bagi mahir dalam bahasa Mandarin Bahasa Melayu dan Indonesia selain berupaya menguasai bahasa-bahasa dunia lain.

Walaupun setakat ini LI CHUAN SIU tidak ada karya kreatif yang membolehkan beliau dilebalkan sebagai seorang penulis fiksyen tetapi penglibatan beliau dalam menghasilkan karya persuratan dalam Bahasa Melayu telah meningkatkan martabat beliau sebagai seorang penulis Tionghoa yang berbakat dalam berkarya dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia. Ini terjelma hasil dari kesungguhan , kerajinan dan ketekunan beliau meneliti bahasa dan kesusasteraan Melayu sendiri serta menghasilkannya dalam bentuk buku. Buku-buku yang dihasilkan memang menakjudkan para pengkaji dan peminat kesusasteraan Melayu dan Bahasa Indonesia.

Penglibatan dunia beliau di beberapa buah Menara Gading di negara-negera ASEAN dan Australia termasuk China banyak melahirkan graduannya. Kehebatan beliau dalam bahasa Melayu berdasarkan bidang akademik yang dipegang olehnya memang tidak boleh dinafikan Li Chuan Siu sudah sepatutnya diberi anugerah tertentu. Walau bagaimanapun kita dapati setakat ini masih belum ada usaha dijalankan bagi mencalonkan beliau untuk mendapatkan sebarang anugerah.

Kajian yang lebih teltii harus dijalankan bagi meninjau lebih mendalam terhadap karya-karya yang dihasilkan oleh Li Chuan Siu serta satu penganugerahan yang sewajar dan setimpal dengan jasa-jasnya dimartabatkan.

Tiada ulasan: