Khamis, 14 Jun 2007

TOKOH BESAR (13)

TOKOH BESAR

Pagi itu seperti biasa Tokoh Besar datang ke pejabat lebih awal. Masalah negara perlu difikirkan olehnya. Tokoh Besar ingin membicarakan perkara agong bagi kemajuan negara dalam mesyuarat kali ini. Tidak ada negara di dunia yang inginkan kemajuan tetapi tidak mahu mengalami perubahan, kata Tokoh Besar. Perubahan semua bidang negara perlu berlaku. Sebagai seorang pemimpin, Tokoh Besar berpandangan kemajuan negara amat penting dan harus dilaksanakan dalam tempoh pentadbirannya. Tidak ada pemimpin yang wajar atau terlalu banyak mendengar hujah dari rakyat semata-mata. Sekali sekala, pemimpin harus memimpin rakyat ke arah zaman baru yang lebih ceria dan memberansangkan. Langkah-langkah tertentu harus diambil bagi menjayakan rancangannya.

Tokoh Besar telah mempunyai maklumat dan data. Agensi perancang, penyelidikan dan penyelerasan negara telah dikerah untuk memperolehi angkubah-angkubah yang diperlukan untuk memperkukuh ideanya. Kajian dari semua aspek juga dijalankan. Perubahan yang radikal dan drastik perlu dijalankan. Tidak ada tolak ansur. Negara mahu maju ke hadapan. Tokoh Besar mendapati beberapa buah negara di dunia telah melaksanakann perancangan dan pelaksanaan bagi mengasingkan bandaraya perniagaan dan bandaraya pentadbiran. Trens ini telah mulai menjalar memasuki pemikiran paradigma tokoh dunia. Beberapa negara telah mewujudkan projek tersebut dan didapati amat berjaya.

Tokoh Besar mempunyai wawasan yang jauh. Melangkaui tokoh-tokoh yang lain. Negara tercintanya perlu berubah. Mereka yang tidak bernyawa sahaja, yang tidak mahu berubah. Negaranya perlu berubah dari semasa ke semasa, memanjat ke tahap yang menjadi perhitungan dan sasaran yang perlu dicapai oleh tokoh-tokoh besar.

Kadang kala,dia tersenyum apabila ada tokoh lain menyatakan bahawa dia sebagai pemikir bangsa dan pemaju zaman negaranya. Kini dia mempunyai idea baru, cadangan ini perlu dilaksanakan tanpa dihalang dari rintangan kewangan. Sentiasa Tokoh Besar berpandangan lebih banyak negara menghadapi masalah dan berjaya pula mengatasinya maka hebat betullah pemimpin negara itu. Pemimpin beginilah yang akan berupaya membawa negaranya maju ke hadapan, setanding dengan kemajuan yang dicapai oleh negara-negara lain.

Panas di luar pejabat bertambah perit. Matahari yang bersinar lebih mencengkam pekerja di luar yang melakukan pekerjaan binaan masing-masing. Tokoh Besar berada di bilik pejabat, sambil membaca surat kahbar yang terbit hari tersebut. Mesyuarat akan bermula tidak lama lagi. Tidak ada berita besar pagi itu. Mungkin keputusan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tokoh Besar hari ini akan membawa berita sensasi untuk negara bagi akhbar keluaran esok.

“Dalam masa 30 tahun lagi, negara kita bakal menjadi negara maju. Saya kira sudah sampai masanya, kita mengikuti beberapa langkah yang dijalankan oleh negara maju yang lain di dunia.” Tokoh Besar memulakan mesyuarat pagi itu dengan mukadimah yang bersahaja.
Semua tokoh lain pandang memandang. Dalam pemikiran mereka apa projek besar yang bakal diumumkan oleh Tokoh Besar untuk negara. Ini mungkin satu projek yang besar untuk negara. Tempoh berfikir menjadi pendek apabila tokoh Besar meneruskan taklimatnya.
“Dari maklumat pakar yang saya perolehi, saya yakin dan percaya sudah sampai masa untuk negara mewujudkan satu pusat pentadbiran yang baru.”
“Satu pusat pentadbiran yang baru!!!” Semua mata ahli mesyuarat seolah-olah terpacul keluar memandang ke arah Tokoh Besar. Memang menjadi tabiat Tokoh Besar tidak memperdulikan pandangan orang lain terhadapnya. Dia selamba sahaja.
“Negara Merdeka sepatutnya tidak menggunakan kota pentadbiran bekas penjajah. Kewujudan pusat pentadbiran yang baru penting serta negara akan memperolehi banyak faedah.” Sambung Tokoh Besar.
“Bekas penjajah, negara akan dapat banyak faedah !!!” Madah ini telah membuat ahli mesyuarat berfikir seketika.
“Mengapa bekas penjajah?” Semua ahli cuba menyelami sejarah perjuangan pemimpin-pemimpin yang lalu. Gambaran sepintas lalu terbayang pemimpin-pemimpin lalu bagaimana mereka berjuang untuk mempertahankan negara dan menyekat kemaraan penjajah. Kini saki-baki penjajah harus dihapuskan kerana negara telah mencapai kemerdekaan serta menjadi sebuah negara demokrasi.
“Saya yakin tok-tok sekalian juga bersetuju supaya saki baki penjajah harus dikikis.”
“Pusat pentadbiran bekas penjajahan yang kita gunakan sekarang sebagai ibu kota tidak mampu lagi menghadapi pembangunan yang berkembang pesat sekarang.” Sambung Tokoh Besar.
“Saya tidak beberapa setuju dengan pandangan tok.” Bantah Tok Bendahari. “Perwujudan satu pusat pentadbiran negara yang baru?”
“Mengapa?” Tanya Tokoh Besar
“Pertama,”
“Pusat pentadbiran negara sekarang masih boleh digunakan.” Tok Bendahari berhenti seketika. “Kedua,”
“Sejumlah wang yang besar perlu diadakan,” Tok Bendahari memandang ke semua ahli yang lain seolah-olah cuba mendapatkan sokongan moral mereka.
“Dari jangkaan kasar saya, dijangka wang yang diperlukan tidak kurang daripada 20 billion.”
“Di samping itu, sejumlah penduduk kita dari kota akan terpaksa berpindah ke sana itu kelak. Perbelanjaannya juga terlalu besar.” Tambah Tok Bendahari.
“Tok-tok sekalian, ingin saya tegaskan bahawa dari kajian agensi-agensi yang menguruskan masalah perancangan, penyelidikan dan penyelarasan sosioekonomi mendapati mengapa kita perlu mewujudkan satu pusat pentadbiran yang baru?” Tokoh Besar cuba menarik perhatian ahli-ahli mesyuarat sekalian.
“Kerana?”
“Pertama,”
“Negara memerlukan sebuah pusat pentadbiran negara yang moden dan efisien. Ini baru sesuai dengan prinsip sebuah jentera pentadbiran yang efisien serta yang boleh bersaing di peringkat global.”
“Kedua,”
“Kita juga harus memastikan pentadbiran negara yang cekap ini dapat memberi perkhidmatan yang berkualiti serta berkesan kepada orang ramai.”
“Ketiga,”
“Ibu kota kita sekarang sudah kekurangan tanah untuk menampung ruang pejabat.”
“Keempat,”
“Peningkatan kos sosioekonomi dialami oleh ibu kota kita disebabkan kesesakan lalu lintas, kesukaran perjalanan dan perhubungan, mengakibatkan kehilangan masa dan sumber.”
“Kelima,”
“Kepesatan dan tekanan pembangunan yang dialami oleh ibu kota memerlukan perbelanjaan yang besar untuk menyediakan kemudahan dan utiliti tambahan.”
“Dengan wujudnya satu pusat pentadbiran yang baru, kedudukan ibu kota akan lebih selesa, teratur dan mempunyai ruang untuk berkembang agar mempunyai semangat daya maju serta mampu bersaing dengan ibu kota-ibu kota lain di rantau ini.” Terang Tokoh Besar dengan panjang lebar.
“Tetapi, Tok!!!”
“Kita ada masalah, di mana hendak dicari tanah sebesar itu?” Tok Bendahari berhenti seketika.
“Kalau diikut keperluannya, tidak kurang daripada 5,000 hektar tanah untuk menampung pemindahan penduduk seramai 400,000 ribu orang kelak.” Tanya Tok Perancang Negara.
“Semua projek ada masalah.” Jawab Tok Besar.
“Bukanlah disebabkan sesuatu projek itu bermasalah maka kita tidak buat.” Tok Besar memberi penegasan.
“Kalau kita tidak menjalankan penyelidikan dan perancangan serta penyelarasan dari aspek sosioekonomi, ini baru dianggap mewujudkan projek yang kurang bijak.”
“Kalau kita tidak buat, ini baru menunjukkan kita tidak ada wawasan.”
“Kita yakin, kita boleh berjaya kerana kita telah banyak membuat kajian. Peluang kejayaan kita amat ceria.”
“Kawasan perlu dikenal pasti dan diperolehi. Bangunan harus dibina. Wang harus dicari dengan apa cara sekalipun.
“Setakat ini Negara telah mengenalpasti beberapa kawasan untuk ditempatkan pusat pentadbiran negara yang baru itu.”
“Matlamat kita hendak mengikis saki-baki penjajahan.”
“Oleh itu, saya telah membuat keputusan pusat pentadbiran yang baru wajib diwujudkan sama ada di salah sebuah kawasan-kawasan tertentu atau satu kawasan yang kita kenal pasti kemudian. Kawasan yang lebih sesuai serta viable.”
“Satu pertandingan akan diadakan tidak lama lagi.”
“Untuk mencari para arkitek dan jurubina. Dari seluruh negara tidak kira bangsa. Bagi mereka yang berjaya, akan dihantar ke luar negeri untuk mengumpul maklumat dan reka bentuk yang sesuai bagi melahirkan pelan binaan projek tersebut. Projek ini harus diuruskan oleh tenaga-tenaga tempatan sahaja. Bukan orang dari luar. Modal juga dari negara ini.” Tambah Tokoh Besar
“Untuk tujuan itu, negara akan mengenalpasti konsortium yang terdiri daripada badan-badan tertentu tempatan untuk membiayai projek tersebut.” Jelas Tokoh Besar.
“Kita juga harus memastikan apakah konsep pembangunan yang digunapakai untuk pusat pentadbiran negara yang baru itu?” Tanya Tok Perancang Negara.
“Yang itu, kita telah tentukan.” Jawab Tokoh Besar dengan selamba.
“Ia berdasarkan konsep pembangunan sejagat iaitu prinsip hubungan 3 hala yang melibatkan;”
“Pertama,”
“Hubungan manusia dengan penciptanya.”
“Kedua,”
“Hubungan manusia dengan manusia.”
“Ketiga,”
“Hubungan manusia dengan alam.”
Di luar bangunan, hujan mulai turun dengan lebatnya. Tokoh Besar merasa projek negara itu bakal mendapat berkat. Moga-moga pusat pentadbiran negara yang baru itu akan mencapai kejayaan bukan sahaja untuk kemuliaan bangsa, agama dan negara serta menjadi harum di peringkat global dan dunia.
Esok, berita besar yang tersiar di muka hadapan semua suratkhabar telah menarik perhatian banyak pihak. Pihak bukan kerajaan riuh-rendah dengan pandangan mereka terhadap projek itu. Semua dengan hujah masing-masing. Ada juga mereka mengambil kesempatan tertentu. Mereka bertanya-tanya di mana pusat pentadbiran negara itu diadakan. Semua pihak tertanya-tanya, di mana? di mana? Akan dibina pusat pentadbiran negara yang baru, di mana? Kawasan Janda Kaya? Beringin? Beruntung? Bhorga? Linggi? Atau? Semua pihak cuba meneka di kawasan mana? Serta apakah nama pusat pentadbiran negara yang baru itu? Dari aspek apa dan mana mereka akan mendapat faedah? Semua persoalan itu bermain-main di minda masing-masing? Semua cuba mencari jawapan. Peluang mencari kemewahan segera terbuka? Tetapi bila? Dan di mana? Mereka bercadang kalau boleh terlebih awal membeli tanah di sana untuk mencari faedah yang lebih besar.

Tiada ulasan: