Khamis, 14 Jun 2007

Kampung Halaman (1)


KAMPUNG HALAMAN



Perasaan meradang Hock Kim memuncak. Bintang jalang itu hendak dilumatkan. Benci betul dia kepada binatang itu. Peristiwa pagi itu menyebabkan dia benci akan binatang itu. Nyaris dia tidak dapat balik ke kampung halaman untuk berhariraya sebab pada masa yang genting itu binatng jalang tersebut muncul dengan tiba-tiba.

Tiupan bayu memukul-mukul dinding teksi. Dengan pentas, pemandangan kiri kanan jalan melewati Hock Kim dan keluarga. Lebuhraya yang melurus dengan dipagari kebun kelapa sawit dan kebun getah yang menghijau. Seolah-olah sesuatu kenyamanan menggigit jantung rasanya. Keindahan watan tercinta membuahkan perasaan yang sukar dimengertikan. Dia melihat anak-anaknya bergurau-gurauan di antara satu dengan yang lain. Budak-budak begitulah, fikir Hock Kim. Sesekali kedengaran isterinya memarahi anak-anaknya. Kemudian gurauan anak-anaknya terhenti buat seketika. Teksi terus menuju ke Selatan. Saudara mara di kampung halaman sedang menunggu ketibaan mereka. Perasaannya terganggu seketika apabila terdengar seolah-olah Ahmad Merdeka bercakap dengannya.

“Hock Kim, awak harus berasa bertuah kerana masih ada orang tua di kampung. Kedua-dua pihak ibubapa saya sudah meninggal. Abang dan kakak-kakak sayapun tinggal di luar negeri.”

“Apabila menjelang Syawal, timbul perasaan sayu. Bagi anak-anak kami, mereka sudah tidak berkampung lagi. Kampung bagi mereka merupakan satu tempat yang asing. Anak kamu mungkin ada sepupu. Anak kami tidak ada. Mereka hanya mengenali suasana kampung apabila kami melawat ke tempat penganginan di pedalaman. Dalam diri mereka sudah tidak kenal kampung halaman lagi.”

“ Saya sendiri ada kampung tetapi tidak ada saudara mara untuk dikunjungi. Kau lainlah, semuanya ada, ibubapa masih hidup;segar bugar pula. Tetapi kau masih enggan melawat mereka.”

Ahmad Merdeka sudah menganggap Hock Kim sebagai salah seorang saudara maranya. Mereka tinggal lama dalam satu kawasan perumahan yang sama serta tinggal sebelah menyelah pula. Mereka kedua-duapun berasal dari kampung. Mereka sama-sama pernah menikmati suasana kampung.

“Mengapa isteri awak tidak suka balik ke kampung?”
“Bukankah kampung itu tempat lahir? Tempat kita bermain dan tempat kita dilahirkan.”
“Apa salahnya kampung itu?” Ahmad Merdeka memberi penekanan kepada soalan tersebut
“Isteri saya menganggap balik kampung itu membebankan dan tidak berfaedah.” Jawab Hock Kim.
“Itukah sahaja sebabnya !”
“Begitulah.” Jawab Hock Kim selamba sahaja.
“Mengapa kampung asal tidak begitu dipentingkan? Bukankah kampung itu akar umbi kita !”
“Orang kita selalu lupakan kampung halaman. Tidak begitu orang Jepun. Mereka pentingkan tradisi dan kampung halaman. Kampung halaman menjadi tunjung mereka. Tradisi dan modern diadun bersama untuk kejayaan dan kemajuan.”
” Macam saya ini hendak kenangkan kampung halamananpun tidak boleh sebab sudah tiada kampung halaman lagi untuk dikenang. Tetapi sayangnya, insan lain yang mempunyai kampung halaman yang tercinta, tidak mahu langsung menjenguk dan melihat keindahan dan kemesraan kampung halaman.”
” Aneh juga dunia ini, kalau dikenangkan. Kita selalu lupa kepada asal usul kita. Padahal asal usul kita itu begitu penting dipelihara dan dipupuk.” Ahmad Merdeka cuba meluahkan perasaannya.

Kata-kata ayah tiba-tiba menjelma di ingatannya.
“Hock Kim itu memang susah membawa isteri balik ke kampung sebab Hock Kim tidak mahu mereka bergaul mesra dengan kita.” rungutan ayahnya.

“Setiap kali ayah suruh kamu sekelian balik kampung, ada sahaja sebab yang kamu berikan. Sebab ini. Sebab itu. Ada sahaja sebab tidak boleh balik. Banyak lagi helah yang kamu berikan.” Bentak ayah Hock.

Ibu Hock Kim berlainan sedikit. Dia tidak kisah sama ada Hock Kim sekeluarga balik kampung atau tidak. Asal ada hantar duit memadahi. Dia memberi kebebasan kepada Hock Kim membuat apa yang disukainya. Hock Kim sudah besar panjang, sudah sepatutnya tahu buruk baiknya.

Hock Kim masih teringat semasa dia kecil-kecil lagi dia telah diberi gelaran babi bukit. Kata tukang telek yang mengira hari kelahirannya, perwatakan manusia yang berbintangkan babi bukit suka berhijrah. Sejak meninggalkan kampung, Hock Kim sudah beberapa kali menukar tempat tinggal. Hock Kim sepatutnya mencari rezeki di luar dari kampung. Sifat ini yang membuat dia berjauhan dari kampung halaman.

Sekonyong-konyong peristiwa pagi tadi kembali menjelma. Isterinya marah-marah apabila mengetahui bahawa bintang jalang telah memasuki bilik jahitnya. Bilik tersebut ada kain dan baju pelanggan yang baru siap dijahit dan yang belum dijahit.

“Bagaimana hendak kita balik kampung, kalau tikus sial itu berada di dalam bilik jahit saya. Habislah saya. Tikus itu akan mengoyak-goyakkan kain baju pelanggan saya. Bagaimana hendak saya ganti kain baju sebanyak itu? Selepas seminggu kita berada di kampung, baju pelanggan saya semuanya jahanam. Semuanya akan koyak. Kita harus bunuh binatang jalang itu. Kalau tidak, kita sekeluarga tidak akan balik kampung. Kau faham, cakap saya ini.” Bentak isteri Hock Kim dengan nada keras memanjang.

Hock Kim berfikir sesuatu tindakan terpaksa dibuat, sama ada membatalkan cadangan balik ke kampung atau meneruskan cadangan yang telah dirancang selama dua bulan yang lalu. Hock Kim teringat, pagi itu pintu belakang rumahnya telah awal-awal lagi dikunci oleh isterinya. Untuk memastikan rumah dikunci dengan lebih selamat, sekali lagi Hock Kim membuka semula pintu belakang rumah, sekonyong-konyong tanpa disedari seekor tikus terus memasuki ke dalam rumah lalu menuju ke bilik jahit isterinya.

Teksi yang membawa Hock Kim sekeluarga telah sampai ke pekan yang hendak dituju. Tetapi hanya tinggal beberap kilometer sahaja akan tiba ke rumah ayahnya. Hock Kim tersedar dari lamunannya. Selepas dua puluh minit, teksi yang membawa Hock Kim sekeluarga tiba di rumah ayahnya. Hock Kim sekeluarga disambut dengan meriah.

Kemarahan isteri Hock Kim masih membara. Peristiwa pagi itu menyentuh perasaannya. Ayah Hock Kim dapat menghidu kecekalaan itu sejak Hock Kim sekeluarga tiba. Daripada Hock Kim, ayahnya dapat tahu kesah tersebut.

“Kamu semua hanya mementingkan wang ringgit sahaja. Bukankah ada barang yang lebih bernilai seperti kasih sayang, kampung halaman, hariraya yang kita sambut setahun sekali. Itu yang harus kita muliakan. Tidak bolehkah kita ketepikan sejenak tanpa mengambil kira kerugian semata-mata?”

“Biarlah ayah bayar segala ganti ruginya sekiranya tikus itu membawa angkara. Ayah baru menerima wang pampasan tanah arwah datuk kamu yang dibayar oleh pihak Kerajaan.”

Isteri Hock Kim mengorak senyum. Tahun ini membawa tuah. Mertuanya akan menghadiahkan sesuatu kepada keluarganya. Dalam congakannya, separuh daripada wang pampasan tanah yang dibayar oleh pihak berkuasa akan diperolehi oleh suaminya, selaku anak sulung. Hock Kim akan mendapat seratus ribu ringgit. Tahun depan mereka akan menaiki kereta sendiri balik kampung. Kampung halaman membawa tuah kepada mereka sekeluarga.

Tiada ulasan: